Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mei 7, 2024 23:56 MYT
Mei 7, 2024 23:56 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 7 Mei 2024.
Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh manakala 23 lagi cedera dalam serangan menggunakan pisau di sebuah hospital di wilayah barat daya Yunnan di China, lapor Sputnik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di sempadan Rafah untuk menghantar dan melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 110 kontena Malaysia ke Gaza, pada Jun ini.
Fasa pertama Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 110 kontena Malaysia ke Gaza berlepas dari Kaherah ke sempadan Rafah, pada Selasa.
Untuk musim haji tahun ini, kesemua 31,600 jemaah Malaysia berdepan beberapa cabaran sukar sepanjang menunaikan rukun Islam kelima itu.
Makluman daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menyebut, daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan haji pada tahun ini, jemaah wanita mewakili sebanyak 58 peratus manakala bakinya 42 peratus adalah jemaah haji lelaki.
Pendakwaan jenayah kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap Goldman Sachs berkaitan peranan Wall Street terhadap dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara rasmi ditamatkan pada Isnin.
Rundingan gencatan senjata tidak langsung antara Israel dan Hamas akan diteruskan lagi hari ini, dengan delegasi Qatar menuju ke Kaherah, menurut Kementerian Luar Negeri Qatar.
Pasukan pejuang Palestin, Hamas bersetuju menerima cadangan gencatan senjata di Gaza yang seperti yang dikemukakan oleh perantara Qatar dan Mesir walaupun Israel berkata cadangan itu tidak memenuhi tuntutannya.
Pihak berkuasa Palestin (PA) pada Isnin melakukan libat urus dengan pihak tertentu secara intensif untuk menghalang rancangan Israel menyerang Bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.
Columbia University di New York yang menyaksikan demonstrasi mengutuk serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan bersolidariti dengan Palestin, mengumumkan pada Isnin pembatalan majlis konvokesyennya minggu depan.