Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
April 10, 2024 23:45 MYT
April 10, 2024 23:45 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 10 April 2024.
Umat Islam di Indonesia hari ini bergembira meraikan Hari Raya Aidilfitri yang mempertemukan keluarga dan sahabat handai dalam semangat kemesraan, kemaafan dan kebersamaan.
Umat Islam di Pakistan dan Sri Lanka meraikan Aidilfitri pada Rabu manakala mereka yang berada di Bangladesh dan sebahagian besar India akan menyambut perayaan itu Khamis.
Serangan udara Israel ke atas bangunan kediaman di kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza membunuh 14 orang pada petang Selasa, menurut jurucakap Hospital Syahid Al-Aqsa, Dr Khalil Al-Dikran.
Thailand dijangka menerima lebih 10 juta pelancong dari negara-negara ASEAN tahun ini, susulan pelancaran projek "ASEAN + India Shoppers in Thailand".
Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert percaya penggantinya Benjamin Netanyahu menjalankan pakatan pemerintahannya dan peperangan di Gaza atas "dasar kepentingan peribadi" dan untuk terus berkuasa, lapor portal berita CNN.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, sekutunya Israel masih belum memaklumkan kepada AS tarikh pencerobohan mereka ke atas Rafah.
Benjamin Netanyahu menegaskan, "tiada sebarang kekuatan di dunia" yang akan menghalang tentera Israel daripada menceroboh Rafah di selatan Gaza untuk menghapuskan pasukan pejuang Hamas yang didakwa berkubu di situ.
Ahli Parlimen Ireland mengundi menyokong pencalonan pemimpin Parti Fine Gael, Simon Harris sebagai Perdana Menteri baharu negara itu berbanding 69 ahli menentang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sekurang-kurangnya 15 pekerja terbunuh selepas bas yang membawa mereka terjunam ke dalam lombong di tengah India.
Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping bersepakat untuk terus mengekalkan pertukaran erat bagi memastikan hubungan bilateral berkembang dengan lancar dan stabil.