Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
April 3, 2024 23:48 MYT
April 3, 2024 23:48 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 3 April 2024.
Gempa bumi besar dengan magnitud 7.4 melanda pantai timur Taiwan, hari ini sekali gus menyebabkan amaran tsunami di selatan Jepun dikeluarkan.
Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas akibat gempa bumi kuat yang melanda Taiwan pada 10 pagi, Rabu, menurut Kementerian Luar Malaysia.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik pada Rabu memaklumkan tiada lagi risiko ancaman tsunami selepas Taiwan digegarkan gempa kuat 7.4 pada skala Richter yang turut menyebabkan seorang maut manakala lebih 50 cedera.
Tiga maut dalam nahas helikopter di Switzerland pada Selasa, menurut polis.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata pada Selasa bahawa beliau "marah" dan "kecewa" berhubung serangan udara Israel di Gaza yang mengorbankan tujuh pekerja bantuan World Central Kitchen (WCK), menekankan bahawa Israel "tidak melakukan secukupnya untuk melindungi pekerja bantuan."
Protes selepas pihak berkuasa Turki menghalang Datuk Bandar parti pro-Kurdish yang baru dipilih mengambil jawatannya merebak ke lebih banyak bandar di tenggara Turki sekali gus menimbulkan pergaduhan dengan pihak Polis pada Selasa.
Upacara pelantikan bakal Presiden Indonesia dirancang berlangsung di ibu kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur, menurut Menteri Kerja Raya dan Perumahan Rakyat Basuki Hadimuljono.
Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto menzahirkan harapan untuk meningkatkan hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Indonesia dan China.
Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom (BROUK) mengeluarkan amaran keras berhubung peningkatan genosid terhadap etnik Rohingya oleh junta tentera di Myanmar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan antara Malaysia dan Republik Kyrgyz akan lebih akrab pada masa hadapan.