Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mac 9, 2024 23:54 MYT
Mac 9, 2024 23:54 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 9 Mac 2024.
Proses pengundian bagi pilihan raya presiden Pakistan antara dua calon, termasuk bekas Presiden Asif Ali Zardari, bermula pada Sabtu.
Pihak berkuasa Indonesia pada Sabtu sedang mempergiatkan usaha mencari sebuah pesawat Pilatus yang hilang di Kalimantan Utara ketika membawa barangan keperluan.
Afrika Selatan sedang meneliti laporan yang dihantar Israel kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada bulan lalu mengenai langkah bagi mencegah genosid di Gaza sebelum memutuskan langkah seterusnya, kata Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, David E. Malcomson.
Proses pengundian semula Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2024) bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur akan diadakan pada Ahad, 10 Mac di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, demikian menurut catatan di Facebook Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Seramai tiga lagi kanak-kanak Palestin telah meninggal dunia di sini akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza pada Jumaat malam.
SEBUAH pesawat Boeing 777 membawa lebih 200 penumpang terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas salah satu tayarnya tercabut dan terjatuh di kawasan parkir Lapangan Terbang San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pilihan raya tempatan yang dijadualkan pada 31 Mac akan menjadi pilihan raya terakhir bagi beliau.
Sebuah robot humanoid di Arab Saudi mencetuskan kontroversi, gara-gara 'menyentuh' seorang wartawan wanita ketika program siaran langsung.
Di samping al-Quran antik dan syiling purba Afghanistan, pelancar roket dan bom buatan sendiri turut dipamerkan di Muzium Mazar-i-Sharif sebagai bukti kemenangan Taliban terhadap tentera asing.
Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ditahan selepas memandu sebuah kereta jenis BMW di lebuh raya di United Kingdom (UK) pada Jumaat.