Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Februari 7, 2024 23:46 MYT
Februari 7, 2024 23:46 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 7 Februari 2024.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memberi amaran bahawa serangan berterusan Israel ke atas bandar Rafah di selatan Gaza boleh menyebabkan kehilangan nyawa orang awam dalam skala besar dan menggesa setiap usaha yang mungkin untuk menghentikan serangan itu.
Seramai 123 wartawan Palestin telah terbunuh sejak Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza, menurut pejabat kerajaan di wilayah terkepung itu pada Selasa, lapor Agensi Berita Jordan (PETRA).
Arab Saudi menegaskan tidak akan menormalisasi hubungan dengan Israel melainkan Palestin diiktiraf sebagai negara merdeka mengikut sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan pencerobohan di Gaza dihentikan.
Pasukan pejuang Palestin, Hamas dilaporkan telah menjawab cadangan yang bertujuan untuk membebaskan tebusan yang tinggal di Gaza dan menghentikan pertempuran, umum Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Selasa.
Bekas Presiden Chile, Sebastian Pinera meninggal dunia dalam nahas helikopter di selatan negara itu.
Perubahan iklim dan fenomena El Nino dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran hutan terburuk dalam sejarah bencana alam di Chile yang meragut nyawa 131 orang.
Kerajaan dan para pemimpin di seluruh Amerika Latin menzahirkan ucapan takziah atas kematian bekas Presiden Chile, Sebastian Pinera dalam nahas helikopter di selatan negara tersebut pada Selasa.
Prestasi calon presiden Anies Baswedan, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo pada pusingan terakhir Debat Capres yang berlangsung pada 4 Februari lalu dilihat sedikit menurun.
Sebilangan pemimpin dunia mengirim doa buat Raja England, Raja Charles III yang disahkan menghidap kanser seperti yang diumumkan oleh Istana Buckingham.
Seorang ketua ajaran sesat dan puluhan pengikutnya berdepan dakwaan di mahkamah Kenya atas jenayah membunuh lebih 200 individu yang mana 191 daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak.