Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 29, 2024 23:56 MYT
Januari 29, 2024 23:56 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 29 Januari 2024.
Seramai 25,000 kanak-kanak Palestin menjadi yatim piatu akibat serangan berterusan Israel di wilayah terkepung itu, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean.
Qatar menggesa kemasukan segera dan tanpa halangan bantuan kemanusiaan yang mencukupi ke semua bahagian di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).
Masalah mendapatkan rawatan dan kekurangan ubat-ubatan terus membelenggu penduduk Palestin terutama di Gaza, semenjak konflik Hamas-Israel tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian mengetuai delegasi diplomatik untuk lawatan rasmi ke Pakistan bagi membincangkan usaha memerangi keganasan dan hubungan dua hala dengan pegawai Pakistan, menurut kenyataan Kementerian Luar Iran pada Ahad, lapor Sputnik.
Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) membuka tirainya di bandar Luang Prabang, Laos.
Tiga negara pimpinan junta Afrika Barat Niger, Mali dan Burkina Faso mengumumkan meninggalkan komuniti ekonomi negara Afrika Barat (ECOWAS) serta-merta pada Ahad.
Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menggesa negara-negara yang menggantung dana mereka kepada UNRWA, untuk menarik semula keputusan itu.
BYD kini bekerjasama dengan pihak DJI dalam memperlihatkan konsep di mana kereta hadir dilengkapi dengan dron pada bahagian bumbungnya.
Tiga anggota tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh dan lebih 30 lagi cedera dalam serangan dron di timur laut Jordan berhampiran sempadan Syria, kata tentera AS.
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris menegaskan, pembunuhan tiga anggota tentera negara itu di sempadan Jordan-Syria merupakan "serangan terkutuk oleh kumpulan militan yang disokong Iran."