Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 20, 2023 23:48 MYT
November 20, 2023 23:48 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 20 November 2023.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Hospital Indonesia di utara Semenanjung Gaza pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan wilayah itu.
Kementerian kesihatan Gaza menolak dakwaan Israel bahawa ia telah menemui terowong Hamas di Hospital Al-Shifa dan menyifatkan ia sebagai ‘pembohongan tulen’.
Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas mencecah 13,000 orang, termasuk lebih 5,500 kanak-kanak dan 3,500 wanita.
Gaza menyaksikan peningkatan risiko kelahiran pramatang, kematian bayi dan keguguran semenjak konflik meletus di Gaza 7 Oktober lalu.
Indonesia menghantar dua pesawat sarat dengan 21 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Isnin, termasuk bekalan perubatan penting dan peralatan perubatan hospital.
Tentera Houthi Yaman telah merampas sebuah kapal kargo yang dikaitkan dengan Israel di Laut Merah, pada Ahad.
Pemilik X, Elon Musk mengharamkan slogan 'dari sungai ke laut, Palestin akan bebas' dan beberapa istilah yang dikaitkan dengan perang Israel ke atas Genting Gaza termasuk 'penjajahan'.
Mahkamah pada Isnin akan membuat keputusan ke atas 300 suspek yang disyaki anggota atau penyokong organisasi jenayah 'Ndrangheta, kumpulan Mafia terbesar di Itali.
Sebuah kereta api merempuh bas mini di daerah Lumajang, wilayah Jawa Timur, Indonesia pada Ahad malam meragut nyawa 11 orang dan mencederakan tiga yang lain, menurut seorang penyelamat.
Karachi, bandar terbesar di Pakistan mendahului senarai bandar paling tercemar di dunia dengan pihak berkuasa tidak berdaya untuk mengekang pencemaran.