Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 6, 2023 23:49 MYT
Oktober 6, 2023 23:49 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 6 Oktober 2023.
Kira-kira 190 orang cedera selepas Taufan Koinu membawa angin kencang dan hujan lebat di selatan Taiwan, menyebabkan penangguhan aliran trafik udara dan maritim, lapor media tempatan pada Khamis.
Serangan terbaharu Rusia di sebuah perkampungan di Hroza, tenggara Kharkiv, Ukraine telah menyebabkan sekurang-kurangnya 51 orang maut, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Sebuah pesawat dilaporkan terhempas di negeri New South Wales (NSW) Australia pada Jumaat, manakala jumlah penumpang yang berada di dalamnya masih belum diketahui, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa di Kalimantan Tengah, Indonesia mengisytiharkan darurat selama 10 hari mulai Jumaat (6 Okt), berikutan pencemaran udara yang teruk hingga mengurangkan jarak penglihatan akibat kebakaran hutan dan tanah yang berterusan, kata Gabenor H. Sugianto Sabran.
Lima orang maut apabila sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah bas di Colombo pada pagi Jumaat, kata jurucakap Hospital Nasional Colombo kepada media, lapor Xinhua.
Sekurang-kurangnya 11 maut manakala 40 lagi cedera dalam dua insiden kebakaran berasingan di India pada Jumaat, Xinhua memetik laporan media tempatan.
Armenia kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh delegasi PBB selepas lawatan ke Nagorno-Karabakh, lapor Sputnik, memetik Kementerian Luar Armenia.
Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menjalinkan kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC) dalam usaha meluaskan lagi hubungan sedia ada, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Thailand melaksanakan langkah kawalan senjata yang diperketat susulan insiden tembakan di pusat beli-belah di Bangkok yang meragut dua nyawa baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara atas kejayaan melepasi sasaran 27 pingat dalam Sukan Asia Hangzhou.