Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 5, 2023 23:49 MYT
Oktober 5, 2023 23:49 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 5 Oktober 2023.
Polis Thailand hari ini menahan tiga lelaki yang dipercayai menjual pistol kepada remaja berusia 14 tahun yang melepaskan tembakan rambang di pusat beli-belah Siam Paragon, di sini, pada Selasa lalu.
Kes tembakan rambang yang berlaku di pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok, Thailand pada Selasa mendapat liputan meluas dalam kalangan pengamal media seluruh dunia.
Jerebu semakin buruk di Indonesia dengan keadaan berasap melitupi bandar Palembang ketika mana kebakaran di lebih 300 hutan dan tanah gambut di Sumatera masih gagal dipadamkan sepenuhnya.
Agensi meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami awal Khamis untuk gugusan kepulauan Izu selepas gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda Lautan Pasifik.
Jepun memulakan fasa kedua pelepasan air tercemar daripada loji kuasa nuklear Fukushima yang musnah ke Lautan Pasifik pada Khamis, selepas fasa pertama dijalankan dalam had keselamatan yang ditetapkan antara 24 Ogos dan 11 Sept.
Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan maut manakala 82 lagi hilang akibat banjir di negeri Sikkim di timur laut India.
2023 berada di landasan betul untuk menjadi tahun paling panas yang pernah direkod menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Berdepan lonjakan kemasukan pendatang, Rumah Putih telah mengetepikan 26 undang-undang persekutuan bagi membenarkan pembinaan tembok sempadan di Starr County, selatan Texas, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS pada Rabu.
Pulau Orkid mencatatkan kelajuan angin paling kencang di Taiwan sejak ia mula direkodkan ketika Taufan Koinu membadai bahagian selatan Taiwan semalaman pada Rabu, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA).
Kerajaan Amerika Syarikat hari ini meluluskan tambahan AS$9 bilion bagi tujuan pelepasan hutang pendidikan melibatkan 125,000 peminjam.