Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
September 4, 2023 23:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 4 September 2023.
1. PM Anwar tiba di Jakarta, sertai pemimpin serantau lain sempena Sidang Kemuncak ASEAN
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, bagi menyertai pemimpin-pemimpin serantau lain sempena Persidangan Kemuncak ASEAN ke-43 yang bermula dari 5 hingga 7 September ini.
2. Taufan Haikui landa Taiwan, 78 cedera
Taufan Haikui telah melanda Taiwan dengan membawa hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan sekurang-kurangnya 226,000 isi rumah terputus bekalan elektrik dan ramai penduduk cedera, kata pihak berkuasa pada Isnin, lapor agensi berita dpa.
3. Empat angkasawan kembali ke bumi selepas enam bulan di angkasa - NASA
Selepas kira-kira enam bulan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dua warga Amerika, seorang angkasawan Rusia dan Emiriah Arab Bersatu telah selamat kembali ke Bumi, menurut NASA pada Isnin, lapor agensi berita dpa.
4. India mahu kaji matahari pula
Susulan kejayaan pendaratan kenderaan robotik, Chandrayaan-3 pada Ogos lalu di kawasan kutub selatan bulan yang tidak pernah diterokai, India kini berhasrat mahu mengkaji matahari pula di bawah misi solar pertama dilancarkan negara Asia Selatan itu pada Sabtu.
5. Dua maut, enam cedera insiden tembakan di majlis perkahwinan di Ottawa
Dua orang maut manakala enam lagi cedera akibat insiden tembakan di sebuah majlis perkahwinan di Ottawa, kata Perkhidmatan Polis Ottawa, lapor Sputnik.
6. Joe Biden kecewa Xi Jinping tidak akan hadir sidang G20 di India
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meluahkan kekecewaan beliau berikutan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping tidak akan menghadiri pertemuan pada Sidang Kemuncak G20 di India, namun, memakumkan, beliau akan ‘bertemu dengannya.’
7. Presiden Ukraine pecat Menteri Pertahanan
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memecat Menteri Pertahanan, Oleksii Reznikov, dengan menyatakan alasan kementerian tersebut memerlukan "pendekatan baharu" dalam berhadapan perang dengan Rusia yang memasuki bulan ke-19.
8. 4 bot tempur buatan AS dinaiki tentera Ukraine dimusnahkan Rusia di Laut Hitam
Empat bot tempur pantas buatan AS, Willard Sea Force, yang digunakan tentera Ukraine telah dimusnahkan di Laut Hitam dalam satu operasi sepanjang malam, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Isnin, lapor Sputnik.
9. Sidang Kemuncak ASEAN, G20: Korea Selatan desak tindak balas tegas ancaman Pyongyang
Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol berkata beliau akan menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberikan tindak balas yang tegas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara apabila beliau menghadiri beberapa siri sidang kemuncak pelbagai hala di Indonesia dan India minggu ini, Agensi Berita Yonhap memetik wawancara yang disiarkan pada Isnin.
10. Sudan: 16 orang awam maut dalam serangan RSF di Khartoum
Angkatan Tentera Sudan (SAF) berkata 16 orang awam terbunuh dalam satu serangan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di ibu negara Khartoum pada Ahad, lapor Xinhua.
#ASEAN #Taufan Haikui #NASA #G20 #Joe Biden #Xi Jinping #Ukraine #Volodymyr Zelenskyy #Amerika Syarikat #Sudan
;