Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Julai 29, 2023 23:48 MYT
Julai 29, 2023 23:48 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 29 Julai 2023.
Indonesia komited untuk membangunkan industri kimia dan tenaga, kata Presiden Joko Widodo semasa pertemuan dengan ahli perniagaan China di Chengdu, China, pada Jumaat, lapor agensi berita ANTARA.
Industri perkhidmatan perisian dan teknologi maklumat China mengekalkan pertumbuhan dua angka dari segi hasil dan keuntungan pada separuh pertama tahun ini, lapor Xinhua memetik data rasmi.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Muslim Converts' Association of Singapore (MCAS) bagi menjaga kebajikan rakyat Malaysia di negara ini.
Gempa bumi berukuran 5.0 pada skala Richter melanda wilayah timur Maluku Utara di Indonesia pada petang Sabtu, menurut agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik negara itu.
Negara-negara Islam akan memberikan respons kolektif terhadap demonstrasi membakar al-Quran di Eropah baru-baru ini selepas mesyuarat tergempar menteri-menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Menteri Luar Turki Hakan Fidan pada Jumaat.
Kedua-dua spesies orkid dan kacukan dengan keturunannya yang boleh dikesan di Malaysia kini dipamerkan di Gardens by the Bay Singapura sempena Orkid Extravaganza: Orkid Tropika Timur, pameran flora terkini.
Tiga mati ditembak di sebuah bangunan pangsapuri di Augsburg, selatan Jerman, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Presiden AS Joe Biden meluluskan sehingga AS$345 juta bantuan pertahanan kepada Taiwan, kata presiden itu dalam satu memorandum kepada Setiausaha Negara AS Antony Blinken pada Jumaat, lapor Sputnik.
Agensi penyelamat Indonesia, Basarnas telah menghantar sepasukan 10 pakar ke Jawa Tengah susulan insiden lapan pelombong emas terperangkap sedalam 60 meter di lombong haram di Pancurendang, Banyumas sejak Rabu.
Seramai empat kru tentera Australia dilaporkan hilang selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di perairan lepas pantai timur laut negara tersebut.