Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Jun 21, 2023 23:49 MYT
Jun 21, 2023 23:49 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 21 Jun 2023.
Sebuah pesawat Kanada mengesan "bunyi di bawah permukaan air" di kawasan pencarian kapal selam Titan yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic, menurut pengawal pantai Amerika Syarikat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Isu mengenai keselamatan kapal selam Titan yang hilang ketika melakukan ekspedisi meneroka bangkai kapal Titanic telah dikemukakan sebelum ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Sekurang-kurangnya 25 tahanan sebuah penjara wanita di Honduras rentung dalam kebakaran, tujuh yang lain maut ditikam dan berpuluh-puluh lagi cedera semasa pertempuran ganas antara dua kumpulan yang bertelagah, lapor Sputnik, memetik media tempatan pada Selasa.
Syarikat Grab Holdings yang berpangkalan di Singapura memberhentikan 1,000 pekerja atau 11 peratus daripada jumlah tenga kerjanya.
Keselamatan siber Arab Saudi diiktiraf sebagai kedua terbaik di dunia dalam Indeks Keselamatan Siber dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) 2023 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IIMD) yang berpangkalan di Switzerland.
Bekas perdana menteri Peru Betssy Chavez ditahan di kediamannya di selatan negara itu, lapor media tempatan pada Selasa, menurut agensi berita Jerman (dpa).
Usahawan jutawan Amerika Syarikat, Elon Musk, berkata bahawa syarikat pembuatan kereta elektriknya, Tesla, akan berada di pasaran India "secepat mungkin" dan akan membuat "pelaburan yang signifikan" dalam ekonomi negara itu, lapor Sputnik.
Ketua Parti Gabungan Kebangsaan Finland, Petteri Orpo dilantik menjadi perdana menteri baharu negara itu selepas mendapat kelulusan Parlimen dan Presiden pada Selasa.
Tujuh pembuat kereta tempatan dan asing di Korea Selatan secara sukarela menarik balik 326,723 kenderaan ekoran kecacatan pembuatan, menurut Kementerian Pengangkutan pada Rabu, lapor Xinhua.
Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Nissan Carlos Ghosn yang melarikan diri dari Jepun ke Lubnan selepas dituduh melakukan salah laku kewangan, menyaman bekas majikannya itu dengan menuntut ganti rugi AS$1 bilion, kerana memfitnahnya, lapor UPI.