Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Jun 2, 2023 23:43 MYT
Jun 2, 2023 23:43 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 2 Jun 2023.
Pihak berkuasa Jepun pada Jumaat mengeluarkan arahan agar 138,700 penduduk di wilayah selatan negara itu berpindah, berikutan taufan Mawar semakin menghampiri pantai tenggara negara itu, lapor Sputnik.
Amerika Syarikat pada Jumaat mengumumkan sekatan ke atas pihak yang berperang di Sudan kerana mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan negara Afrika itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Korea Selatan pada Jumaat mengenakan sekatan unilateral ke atas kumpulan penggodam Korea Utara yang dikenali sebagai Kimsuky sebagai tindak balas terhadap pelancaran roket satelit pengintip tentera di angkasa oleh Pyongyang, menurut kementerian luar.
Jumlah aliran pergerakan penumpang udara bagi April 2023 melonjak 45.8 peratus berbanding April 2022, dengan trafik global semasa pada 90.5 peratus daripada tahap sebelum COVID-19, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak lama lagi akan menyediakan tahap untuk fasa baharu dalam hubungan dua hala Malaysia dan United Kingdom, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Presiden Joe Biden tersungkur selepas selesai menyerahkan skrol terakhir pada Majlis Konvokesyen Graduan Diploma di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS).
Kerajaan Bangladesh mengeluarkan arahan melarang penjawat awam membuat perjalanan menggunakan kemudahan kelas pertama sehingga notis selanjutnya, lapor Xinhua.
Syarikat pertanian organik berasaskan system hidroponik di Qatar, Agrico Agriculture Development W.L.L. (Agrico Qatar) berhasrat untuk mendapatkan bekalan minyak sawit mentah bagi kilang penapisan minyak kelapa sawit milik Agrico di Malaysia.
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada Khamis berkata Brazil akan kekal berkecuali dalam konflik perang Rusia-Ukraine.
Singapura menganjurkan Dialog Shangri-La (SLD) ke-20 selama tiga hari dari Jumaat (2 Jun) hingga Ahad (4 Jun), menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) republik itu.