Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mei 31, 2023 23:50 MYT
Mei 31, 2023 23:50 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 31 Mei 2023.
Gempa bumi dengan magnitud 6.2 menggegarkan Auckland Islands, wilayah New Zealand pada 02.21 GMT pada Rabu, kata Tinjauan Geologi AS, lapor Xinhua.
Kebakaran berlaku pada awal Rabu di kilang penapisan minyak Afipsky di wilayah Krasnodar Rusia dipercayai terkena dron, kata Gabenor Veniamin Kondratyev, lapor Sputnik.
Korea Utara menembak apa yang didakwanya sebagai "jentera pelancar angkasa lepas" ke arah selatan pada Rabu, namun jatuh ke Laut Kuning selepas penerbangan "tidak normal", kata tentera Korea Selatan.
Kerajaan bandar raya Seoul pada Rabu tersilap menghantar amaran kecemasan menasihatkan rakyat supaya bersedia untuk berpindah selepas Korea Utara melancarkan roket, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengecam sekeras-kerasnya pelancaran roket berbilang Korea Utara menggunakan teknologi peluru berpandu balistik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Amman, Jordan untuk lawatan khas selama empat hari.
Gabungan pimpinan Parti Move Forward Thailand menubuhkan jawatankuasa peralihan sebagai persiapan untuk membentuk kerajaan baharu selepas kemenangan besar dalam pilihan raya 14 Mei.
Ketua Tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah Al Burhan, memaklumkan pihaknya setuju melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan penduduk awam mendapatkan bantuan.
Dua angkasawan Arab Saudi, Rayyanah Barnawi dan Ali Al Qarni, menyelesaikan misi bersejarah mereka selama 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Selasa dan memulakan perjalanan pulang ke bumi.
Kesatuan Eropah (EU) akan menambah aset udara untuk memadam kebakaran bagi musim panas 2023.