Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mei 2, 2023 23:57 MYT
Mei 2, 2023 23:57 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 2 Mei 2023.
Paetongtarn Shinawatra, calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Thailand akan datang, selamat melahirkan seorang bayi lelaki hanya dua minggu sebelum pilihan raya berlangsung.
Masyarakat antarabangsa disaran menghormati kedaulatan Myanmar, dan menyokong semua pihak di Myanmar meleraikan perselisihan serta meneruskan proses peralihan politik melalui dialog politik di bawah rangka perlembagaan dan undang-undang.
Agensi Kesihatan Jakarta memberi amaran kes COVID-19 akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari mendatang selepas varian Arcturus dikesan di negara itu.
Amerika Syarikat mengumumkan pada Isnin bahawa peraturan keperluan vaksinasi COVID-19 untuk pekerja persekutuan dan pengembara asing yang menggunakan perkhidmatan udara bakal dimansuhkan pada 11 Mei.
Kira-kira 782,000 orang menyertai protes Hari Pekerja Antarabangsa tahun ini di seluruh Perancis, menurut Kementerian Dalam Negeri pada Isnin.
Sekurang-kurangnya tiga cedera manakala dua lagi ditahan susulan pertempuran antara pihak polis dan kumpulan protes di Santiago, Chile pada Isnin.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan bersidang di Jeddah, Arab Saudi pada Rabu untuk membincangkan situasi terkini di Sudan.
Menteri Luar Jordan, Mesir, Arab Saudi dan Iraq dalam satu kenyataan bersama pada Isnin, bersepakat untuk menyokong usaha Syria menguasai semula wilayah di negara itu, lapor Sputnik.
Angin kencang yang melanda Illinois, Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan banyak kemalangan termasuk kemalangan jiwa di Lebuhraya Interstate 55.
Bilionair China, Jack Ma pada Isnin (1 Mei) menyandang jawatan sebagai profesor pelawat di sebuah universiti di Jepun, lantas menyaksikan pengasas syarikat teknologi gergasi Alibaba itu memulakan peranan akademik terbaharunya.