Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
April 26, 2023 23:54 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 26 April 2023.
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 26 April 2023.
1. Ketua PBB gesa pihak bertelagah di Sudan kembali ke meja rundingan
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa anggota Majlis Keselamatan dan negara anggota PBB yang lain serta organisasi serantau yang berpengaruh supaya menekan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Sudan meredakan ketegangan dan "kembali ke meja rundingan" dengan segera.
2. Lelaki Singapura jalani hukuman gantung kerana edar kanabis
Seorang lelaki berusia 46 tahun yang disabitkan kesalahan mengedar satu kilogram kanabis menjalani hukuman gantung di Singapura pada Rabu, tindakan yang dikecam oleh peguam bela hak asasi manusia.
3. Moscow ambil alih kawalan dua firma tenaga asing
Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani dekri meletakkan anak syarikat dua pembekal tenaga asing Rusia - Uniper dari Jerman dan Fortum Oyj dari Finland - di bawah kawalan negara, lapor agensi berita Jerman (dpa).
4. Dua bekas pegawai PetroSaudi didakwa seleweng dana 1MDB di Switzerland
Dua bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PSI) telah didakwa di Switzerland atas dakwaan menyeleweng sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion (RM8 bilion) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
5. Biden lawat Australia, Jepun untuk mesyuarat Quad, Sidang Kemuncak G7
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan melawat Jepun dan Australia pada Mei untuk Sidang Kemuncak G7 dan mesyuarat ketiga pemimpin Quad, lapor agensi berita Jerman dpa yang memetik kenyataan White House.
6. 30 rakyat Malaysia selamat meninggalkan Port Sudan, menuju ke Jeddah
Selepas 30 jam mengharungi perjalanan darat yang amat mencabar, 30 rakyat Malaysia selamat meninggalkan Port Sudan menaiki kapal Tentera Laut Arab Saudi menuju ke Jeddah.
7. Uzbekistan akan mengundi dalam referendum bersejarah pindaan perlembagaan secara menyeluruh
Negara Asia Tengah Uzbekistan akan mengadakan referendum bersejarah mengenai draf undang-undang perlembagaan yang mencadangkan perubahan meluas kepada negara dan kehidupan rakyat, termasuk hak asasi manusia dan kebebasan, akses kepada Internet dan persekitaran pelaburan.
8. China harap dapat pacu perkembangan pertanian bersama ASEAN
Perdana Menteri China, Li Qiang berharap agar China dan ASEAN dapat bersama-sama memacu perkembangan pertanian ke arah berdaya tahan dan mampan serta memastikan keselamatan bijirin terjamin.
9. CEO Hankook Steel Korea Selatan dihukum penjara kerana kematian pekerja
Ketua Pegawai Eksekutif Hankook Steel & Mill Co dijatuhi hukuman penjara setahun pada Rabu, berhubung kematian seorang pekerja di kilangnya, sekali gus menjadi ketua korporat pertama yang dihukum penjara kerana kawalan keselamatan industri yang longgar, lapor Yonhap.
10. Washington haramkan senjata separa automatik
Jay Inslee, gabenor negeri Washington di Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menandatangani undang-undang untuk mengharamkan berpuluh-puluh jenis senapang separa automatik.
#konflik Sudan #Singapura #PetroSaudi #1MDB
;