Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
April 9, 2023 23:51 MYT
April 9, 2023 23:51 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 9 April 2023.
Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) pada Sabtu melancarkan rondaan kesiapsiagaan tempur dan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan, bermula 8 hingga 10 April.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Sabtu memberi amaran tentang "konfrontasi agama" berikutan serbuan Israel ke atas kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam kejadian tembakan di selatan Thailand pada Sabtu.
Kira-kira 20 penyerang dipercayai anggota kumpulan pemisah melancarkan serangan di pos kawalan keselamatan di wilayah bergolak Yala di selatan Thailand.
Kempen "1 Billion Meals Endowment", yang dilancarkan oleh Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, bagi menubuhkan dana pembiayaan bantuan makanan terbesar sempena Ramadan, telah mencatatkan jumlah sumbangan sebanyak AED 514 juta (US$140 juta) selepas 15 hari pelancarannya.
Seorang kanak-kanak perempuan lima tahun maut ditimpa sebuah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dipandu kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang terbalik.
Kebakaran yang melanda kawasan kejiranan padat di timur Manila meragut tujuh nyawa, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, menurut polis Filipina pada Ahad.
Pendatang Yahudi menyerbu halaman Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur sambil dikawal ketat polis Israel pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.
Pilihan raya tempatan bermula pada Ahad di Jepun bagi memilih gabenor, datuk bandar dan ahli dewan negara, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media tempatan.
Sebuah bangunan pangsapuri empat tingkat runtuh di tengah-tengah bandar Marseille di Perancis awal pagi Ahad.