Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Ogos 8, 2022 23:59 MYT
Ogos 8, 2022 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 8 Ogos 2022.
Gustavo Petro, Presiden berhaluan kiri yang pertama dilantik di Colombia, mengangkat sumpah pada Ahad. Dalam ucapannya di Bogota, beliau berjanji untuk memperjuangkan agendanya iaitu untuk membanteras kemiskinan dan keganasan di negara itu.
Australia dan Latvia menyeru supaya ketegangan di Selat Taiwan dipulihkan. Menteri Luar kedua-dua negara membuat saranan itu dalam satu sidang media bersama selepas China melakukan latihan ketenteraan di sekeliling Taiwan untuk empat hari berturut-turut.
Kadar kelahiran pada musim bunga 2022 di Sweden mencapai tahap paling rendah dalam tempoh lebih dua dekad, menurut angka dikeluarkan oleh Statistics Sweden pada Ahad.
Singapura pada Isnin menyeru semua pihak yang terlibat dalam serangan udara dan serangan roket di Israel dan Gaza untuk "menghentikan ketegangan dan keganasan terhadap orang awam serta berusaha ke arah gencatan senjata yang berpanjangan".
Pakistan dan negara Islam lain mengecam tindakan Israel menyerbu kompleks Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis Timur.
Jihad Islam Palestin (PIJ) yang aktif di Semenanjung Gaza mengumumkan petang Ahad bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Israel.
Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) menyatakan terdapat 'tanda-tanda awal' wabak cacar monyet yang melanda seluruh negara kini sedang memperlahan. Pengarah Jangkitan Klinikal UKHSA, Dr. Meera Chand, berkata, walaupun data menunjukkan peningkatan wabak telah menurun, orang ramai digesa tidak leka.
Senat Amerika Syarikat meluluskan Rang Undang-Undang berjumlah 430 bilion dolar bertujuan menangani perubahan iklim, menurunkan harga ubat dan menaikkan beberapa cukai korporat. Ini sekaligus kemenangan besar bagi Presiden Joe Biden yang diharapkan oleh demokrat akan membantu peluang mereka untuk mengekalkan kawalan kongres dalam pilihan raya tahun ini.
Bangladesh meminta kerjasama China bagi menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar.
Rundingan mengenai Perjanjian Nuklear 2015 dijangka mencapai kata sepakat dalam masa terdekat.
#berita pilihan
#Berita AWANI
#berita antarabangsa
#berita luar negara
#Colombia
#Australia
#Latvia
#Israel
#Gaza
#Masjid Al-Aqsa
#cacar monyet
#nuklear
#Rohingya