Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
April 1, 2022 23:59 MYT
April 1, 2022 23:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 1 April 2022.
Malaysia dan Indonesia akan terus sama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu yang berkemungkinan dijadikan sebagai Bahasa ASEAN satu hari nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
China pada Khamis menganjurkan Dialog Menteri Luar kerajaan sementara Afghanistan dengan negara-negara jirannya yang dipengerusikan Menteri Luar China, Wang Yi di Tunxi, provinsi Anhui.
Sri Lanka mengenakan perintah berkurung di ibu negara Colombo selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu kediaman peribadi Presiden Gotabaya Rajapaksa.
Pertubuhan Pengendali Nuklear Dunia (WANO) memindahkan Energoatom, iaitu pengendali loji tenaga nuklear Ukraine, dari Moscow, Rusia ke direktorat Paris, Perancis kata Energoatom pada Khamis.
Pelakon Hollywood dan aktivis hak asasi manusia Angelina Jolie melawat kanak-kanak Ukraine di Hospital Bambino Gesu di Rom pada Rabu, lapor Agensi Berita Itali (ANSA) pada Khamis.
Polis Los Angeles telah dikerah dan bersiap sedia untuk menahan pelakon terkenal Will Smith ketika majlis Oscar pada Ahad lalu susulan tindakannya menampar hos Chris Rock, kata penerbit acara Hollywood itu pada Khamis.
IMT-GT Joint Business Council Malaysia (JBC Malaysia) mengalu-alukan keputusan Kerajaan membuka dua pintu sempadan darat (Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan).
Rusia mendakwa serangan peluru berpandunya telah berjaya memusnahkan sebahagian besar depoh simpanan minyak Ukraine di Wilayah Rivne. Perkara itu dinyatakan jurucakap Menteri Pertahanan Rusia, Major Jeneral, Igor Konashenkov.
Pasukan pendakwaan memohon penggantungan kes perbicaraan tanpa kehadiran 26 warga Arab Saudi yang didakwa membunuh kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi. Penggantungan itu bagi membolehkan kes dipindahkan ke Arab Saudi.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy merayu penggubal undang-undang di Australia meningkatkan bantuan bagi menghentikan serangan Rusia ke atas negaranya. Tegasnya, tidak mustahil perang seumpama itu akan berlaku di negara-negara lain jika dunia tidak terus berusaha membawa Rusia ke muka pengadilan.