Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mac 29, 2022 23:58 MYT
Mac 29, 2022 23:58 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 29 Mac 2022.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa mengulangi gesaannya bagi gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine menjelang rundingan damai di Istanbul demi menamatkan konflik yang sudah berlanjutan hampir dua bulan, lapor Agensi Anadolu (AA).
ASEAN berada di landasan yang betul dalam menangani pandemik COVID-19 walaupun berdepan masalah kekurangan vaksin, logistik dan keengganan orang ramai untuk divaksin, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Presiden Brazil Jair Bolsonaro telah dimasukkan ke hospital dan kini menjalani ujian kesihatan, lapor portal berita G1, memetik Menteri Komunikasi Fabio Faria sebagai berkata.
Kesatuan Eropah (EU) telah menerima 3.8 juta pelarian dari Ukraine, kata Pesuruhjayanya untuk Hal Ehwal Dalam Negeri, Ylva Johansson. Bercakap di Brussels, beliau turut mengumumkan sistem baharu untuk mendaftarkan pelarian di seluruh EU serta alat untuk memudahkan penempatan rakyat Ukraine di seluruh negara anggota.
Pelakon Will Smith memohon maaf kepada Chris Rock dan semua pihak yang menyaksikan serangannya terhadap pelawak itu di Anugerah Akademi pada Ahad malam. Smith berkata keganasan dalam semua bentuk adalah racun selain merosakkan dan tingkah lakunya pada anugerah itu tidak boleh diterima dan dimaafkan.
Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan warganegara Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam berhubung hukuman mati yang dihadapinya.
Kumpulan Negara G7 (G7) sepakat menolak tuntutan Moscow supaya eksport gas Rusia dibayar dalam mata wang ruble, kata Naib Canselor Jerman Robert Habeck pada Isnin.
Delegasi Rusia dan Ukraine tiba di Istanbul pada Isnin bagi sesi mesyuarat rundingan damai yang seterusnya, setelah krisis antara dua pihak berterusan lebih sebulan, lapor Agensi Anadolu.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin menerima kunjungan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ke Pentagon pada Isnin, bagi mengadakan rundingan dua hala.
Masih banyak peluang kerjasama ekonomi dan perdagangan yang dapat dijalankan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali gus boleh membantu syarikat-syarikat negara memasuki pasaran lebih luas di peringkat global.