Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
September 6, 2021 23:50 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 6 September 2021.
1. Duta Khas ASEAN ke Myanmar gesa gencatan senjata, bolehkan bantuan kemanusiaan diagihkan
Duta Khas ASEAN ke Myanmar Erywan Mohd Yusof menggesa semua pihak di negara ini mengadakan gencatan senjata selama empat bulan untuk membolehkan penghantaran pertama bantuan kemanusiaan sampai ke negara Asia Tenggara itu dengan lancar, yang dijadualkan pada pertengahan September.
2. Singapura benar pesawat Boeing 737 MAX kembali beroperasi
Singapura membenarkan pesawat Boeing 737 MAX kembali beroperasi mulai hari ini, selepas digantung Lembaga Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sejak 12 Mac 2019, berikutan dua nahas udara yang melibatkan pesawat itu di Indonesia dan Ethiopia.
3. Jumlah kes COVID-19 di India lepasi 33 juta, 38,948 kes baharu
Jumlah kes COVID-19 di India telah melebihi 33 juta, meningkat kepada 33,027,621 pada Isnin, dengan 38,948 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam, lapor Xinhua, memetik data terbaharu kementerian kesihatan persekutuan.
4. Perintah Berkurung: New Zealand longgar sekatan selepas 3 minggu
Negara itu bakal beralih ke perintah kawalan tahap dua bermula Selasa, kecuali bandar terbesar Auckland, yang dijangka kekal pada tahap empat sehingga minggu depan.
5. Taliban wajibkan pelajar perempuan universiti swasta pakai niqab
Taliban mewajibkan pelajar perempuan yang mahu menyambung pengajian di universiti swasta di Afghanistan memakai jubah dan niqab.
6. Tiga maut serangan bunuh diri, angka korban dijangka meningkat
Sekurang-kurangnya tiga maut, manakala 15 yang lain cedera dalam serangan bom bunuh diri berdekatan pusat pemeriksaan keselamatan di barat daya Pakistan.
7. UAE umum visa baharu bolehkan warga asing bekerja tanpa ditaja majikan
Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad melancarkan satu pelan utama untuk merangsang ekonomi negara itu dan melonggarkan peraturan tempat tinggal (residensi) yang ketat untuk golongan ekspatriat.
8. COVID-19: New South Wales catat tiga kematian baharu
New South Wales mencatatkan tiga kematian baru dan 1,485 jangkitan kes COVID-19 pada Ahad.
9. Vaksin COVID-19: Tiada keputusan vaksinasi terhadap kanak-kanak sihat
United Kingdom masih belum mencapai keputusan sama ada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun yang tidak mempunyai masalah kesihatan akan divaksin atau sebaliknya.
10. Vaksin COVID-19: Dos penggalak Pfizer mula diberi di AS pada 20 Sept
Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat akan memulakan pemberian suntikan dos ketiga atau 'booster shot' COVID-19 yang dihasilkan Pfizer- BioNTech.
#ASEAN #Myanmar #UAE #United Kingdom #India #Taliban #Afghanistan #Pfizer #Singapura #Boeing 737 Max #New South Wales
;