Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Julai 8, 2021 23:50 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis 8 Julai 2021.
1. Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dilapor sihat walaupun hilang berat badan
Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) Korea Selatan mendedahkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, tidak mengalami sebarang masalah kesihatan walaupun hilang berat badan kira-kira 10-20 kilogram (kg) (22-44 paun) sejak beberapa bulan lalu.
2. COVID-19 di Indonesia: Angka terus melonjak dengan 38,391 kes baharu
Situasi penularan COVID-19 di negara jiran, Indonesia, juga semakin membimbangkan lantaran laporan terkini mencatatkan kes jangkitan baharu COVID-19 yang tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 38,391 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam.
3. Presiden dibunuh, Haiti isytihar darurat
Perdana Menteri sementara Haiti, Claude Joseph, pada Rabu mengisytiharkan darurat susulan pembunuhan Presiden Jovenel Moise, lapor Agensi Berita Anadolu (AA).
4. Peguam dilantik mahkamah wakili Britney Spears tarik diri
Peguam penyanyi pop popular, Britney Spears yang dilantik mahkamah telah mengajukan dokumen untuk mengundurkan diri dari mengendalikan kes tersebut.
5. BTS peraga koleksi terbaharu LV
Megastar K-pop, BTS memperagakan koleksi terbaharu Louis Vuitton pada Rabu di Seoul.
Tujuh ahli kumpulan berkenaan adalah antara model yang memperaga pakaian rekaan Virgil Abloh di Pusat Seni dan Budaya Art Bunker B-39, di Seoul.
6. COVID-19: Indonesia semakin tenat, bekalan oksigen tidak mencukupi
Pada Rabu, 1,040 kes kematian baharu COVID-19 direkodkan, jumlah tertinggi yang direkodkan negara itu sejak bermulanya penularan pandemik.
7. Suspek bunuh Presiden Haiti ditahan - Setiausaha Komunikasi
Setiausaha Komunikasi Haiti, Frantz Exantus bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut berkenaan jumlah suspek yang ditahan susulan serangan pada Rabu di kediaman mendiang yang turut menyebabkan isterinya cedera.
8. Rombakan Kabinet | India gugurkan 12 Menteri
Perdana Menteri India, Narendra Modi melantik 12 Menteri baharu sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet dalam usaha menangani kritikan terhadap kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.
9. Singapura | Vaksin Sinovac tidak dikira dalam program nasional
Individu yang menerima suntikan vaksin COVID-19 Sinovac tidak termasuk dalam kiraan jumlah vaksinasi Singapura Menurut Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung, ini susulan data keberkesanan yang tidak mencukupi mengenai vaksin buatan China itu terutama terhadap varian Delta yang mudah menular.
10. COVID-19 | Kes positif seluruh dunia melebihi 184.85 juta
Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia ketika ini melebihi 184.85 juta Ini berikutan lebih tiga ratus ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas
#Narendra Modi #Kim Jong Un #Workers' Party of Korea #Indonesia #India #Singapura #Korea #COVID-19 #kes positif #vaksin #pandemik #britney spears #Haiti #Claude Joseph #BTS #Sinovac
;