Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Mac 13, 2021 23:09 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 13 Mac 2021.
1. Undang-undang pilihan raya perlu dikemas kini, pantau iklan politik dalam talian- TI
Setiap kerajaan sesebuah negara perlu mengemaskini undang-undang pilihan raya negara itu bagi memastikan pengiklanan politik dalam talian adalah sah, pembiayaan yang telus, dan sasaran mikro yang minimum.
2. Anggota polis berdepan dakwaan culik dan bunuh
United Kingdom digemparkan dengan kes pembunuhan seorang wanita berusia 33 tahun, Sarah Everard yang dilaporkan hilang di London sejak 3 Mac lalu. Terbaharu, seorang anggota polis Metropolitan kini berdepan dakwaan menculik dan membunuh mangsa.
3. Spesies baharu cengkerik dinamakan sempena PM New Zealand Jacinda Ardern
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, menerima penghargaan selepas seekor serangga besar dinamakan sempena nama beliau sebagai penghormatan.
4. Remaja tikam bapa 20 kali, percaya mangsa reptilia jadian
Seorang remaja ditahan polis Arizona selepas didakwa menikam bapanya sebanyak 20 kali dengan niat ingin membunuh kerana percaya mangsa seekor reptilia jadian.
5. Singapura arah tarik balik telur dari Lay Hong Layer Farm Jeram
Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia, sebagai langkah berjaga-jaga.
6. Arab Saudi tukar Menteri Haji dan Umrah
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menggantikan Menteri Haji dan Umrah, Muhammad Saleh Benten. Portal The New Arab melaporkan, Muhammad Saleh Benten ditamatkan tugas sebagai Menteri Haji dan Umrah dan digantikan dengan Essam Saeed.
7. IOC selar negara mahu boikot Olimpik Beijing
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyelar negara-negara yang mahu memboikot Sukan Olimpik Beijing 2022 dengan menyatakan tindakan itu tidak masuk akal. Presiden IOC Thomas Bach mempersoalkan mengapa negara-negara tersebut mahu menghukum atlet dengan tidak membenarkan mereka bertanding.
8. COVID-19 | White House pertahan tetapan tarikh akhir vaksinasi
Pasukan petugas khas COVID-19 White House mempertahankan janji Presiden Joe Biden mengenai tarikh akhir 1 Mei untuk vaksinasi dibuka untuk semua peringkat usia. Ini susulan kenyataan Biden pada Khamis bahawa kemungkinan ia akan menandakan kebebasan daripada virus COVID-19 bermula 4 Mei.
9. Daging manusia jadi 'santapan' kucing jalanan
Seorang lelaki di Kazakhstan yang dipercayai mabuk bertindak ganas dengan membunuh rakannya sebelum memotong anggota badan mangsa kepada beberapa kerat kecil dan menghidangkannya kepada kucing jalanan.
10. Beyonce terima pencalonan Grammy terbanyak, termasuk 'Record of the Year'
Selebriti serta penyanyi R&B terkemuka, Beyonce menerima pencalonan paling banyak dalam anugerah Grammy tahun ini.
Menurut laporan AP, lagu 'Black Parade' dari album 'The Lion King: The Gift' menerima sembilan pencalonan Grammy termasuk dua pencalonan utama iaitu 'Song of the Year' dan 'Record of the Year' bagi anugerah berprestij yang bakal berlangsung Isnin ini di Staples Centre, Los Angeles.
#berita pilihan #berita luar negara #berita antarabangsa #pandemik #COVID-19 #Perdana Menteri New Zealand #Jacinda Ardern #Olimpik Beijing #White House #Presiden Joe Biden
;