Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Nickyson Nyambar
Februari 12, 2021 22:40 MYT
Februari 12, 2021 22:40 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 12 Februari 2021.
Pihak berkuasa Thailand menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan merampas lebih 500,000 fail pornografi kanak-kanak yang disimpan dalam peranti di wilayah tengah Pathum Thani.
Menurut akhbar Bangkok Post, suspek, yang juga pemilik agensi peragaan kanak-kanak, ditangkap dan didakwa semalam kerana memiliki dan mengedar pornografi kanak-kanak serta mencabul ribuan mangsa berusia bawah 13 tahun.
New Zealand akan memulakan program vaksinasi COVID-19 negara itu pada 20 Feb ini. Perdana Menteri, Jacinda Ardern memaklumkan pada Jumaat, ini susulan penerimaan bekalan vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba lebih awal daripada yang dijangkakan sebelum ini.
TENTERA Junta Myanmar menarik balik hukuman terhadap lebih 23,000 tahanan, demikian pengumuman Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada Jumaat. Ia membabitkan 23,314 tahanan Myanmar dan 55 tahanan asing.
JIKA pepatah “gunung tinggi sanggup aku daki, lautan luas sanggup aku redah” itu benar-benar boleh ditepati dan ditunaikan, maka baguslah.
Namun, jika anda sanggup menipu demi mendapatkan pengiktirafan seperti lelaki ini yang mendakwa dirinya telah berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia, lupakanlah hasrat untuk meluahkan pepatah itu kepada seseorang.
SEBUAH tabloid Inggeris didapati bersalah menyerang privasi isteri Putera Harry, Meghan Markle apabila menerbitkan surat yang ditulis kepada ayahnya.
PAKAR penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci berkata, memakai pelitup muka yang sesuai dengan bentuk dan ukuran muka seseorang adalah lebih baik.
UNITED Kingdom bersiap-sedia untuk perubahan sekatan lebih ketat di sempadan bermula minggu depan.
Mana-mana individu yang tiba di England dan didapati berbohong mengenai lawatan ke negara dalam senarai larangan perjalanan kerajaan Britain akan berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun.
PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden mengkritik program vaksinasi koronavirus yang diwarisinya daripada Donald Trump dan meminta rakyat Amerika untuk bersabar ketika beliau berusaha memperbaikinya.
THE Harvard Law Review telah menamakan individu berketurunan Mesir-Amerika kelahiran Los Angeles sebagai presiden.
Ini menjadikan Hassaan Shahawy individu Muslim pertama sebagai presiden dalam sejarah lebih 130 tahun jurnal undang-undang paling berprestij di Amerika Syarikat itu.
JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini meningkat ke angka 107.6 juta. Ia berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.
#berita pilihan
#berita luar negara
#berita antarabangsa
#pandemik
#COVID-19
#Pedofil Thailand ditangkap
#THE Harvard Law Review
#Meghan Markle menang saman
#junta Myanmar