Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Januari 23, 2021 23:49 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 23 Januari 2021.
1) Bekalan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke EU dikurangkan
Syarikat farmaseutikal AstraZeneca akan mengurangkan bekalan dos vaksin COVID-19 daripada jumlah yang dipersetujui bersama Kesatuan Eropah (EU) selepas mengalami isu pengeluaran.
Memetik laporan Reuters, bekalan dos vaksin syarikat itu ke EU akan dikurangkan sebanyak 60 peratus, daripada 80 juta kepada 31 juta dos sahaja pada suku pertama tahun ini.
2) COVID-19: Six Flags Magic Mountain dijadikan pusat vaksinasi, tidak lagi suram
Keadaan taman hiburan Six Flags Magic Mountain di utara Los Angeles yang sebelum ini sepi dan suram kini bertukar 'meriah' apabila dijadikan pusat vaksinasi.
Biarpun tiada lagi bunyi riuh di roller coaster di taman hiburan berkenaan, namun di kawasan parkirnya kelihatan sibuk dengan orang ramai yang ingin mendapatkan vaksinasi COVID-19.
3) COVID-19: Satu kes dalam komuniti babitkan wanita Msia di Singapura pada Jumaat
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan seorang wanita Malaysia berusia 26 tahun adalah kes baharu tunggal jangkitan tempatan COVID-19 yang dilaporkan di republik itu pada Jumaat.
4) WHO jamin Pfizer-BioNTech selamat untuk warga tua
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melihat tiada bukti vaksin dibangunkan Pfizer Inc dan BioNTech menjadi penyumbang kepada kematian warga tua selepas menerima suntikan.
Sebaliknya, WHO menegaskan, vaksin berkenaan masih lagi digunakan, mengulas kes kematian warga emas yang dijangkiti COVID-19 di Norway baru-baru ini.
5) COVID-19: Belgium umum larangan perjalanan percutian
Belgium mengumumkan larangan perjalanan percutian terhadap rakyatnya bermula minggu depan sehingga Mac.
Perdana menterinya, Alexander De Croo menjelaskan, perjalanan percutian berkemungkinan meningkatkan risiko jangkitan.
6) Republikan minta Demokrat tangguh prosiding Trump
Republikan di Senat Amerika Syarikat meminta Demokrat menangguhkan sehingga Februari prosiding perbicaraan bagi pendakwaan ke atas bekas Presiden, Donald Trump.
7) COVID-19: Vaksin terbukti rawat varian baharu di UK
Vaksin COVID-19 yang digunakan di Britain dilaporkan berkesan dalam merawat varian baharu yang dikesan di United Kingdom.
Namun, menurut ketua penasihat saintifik kerajaan, Patrik Vallance, dua lagi varian yang dikesan di Brazil dan Afrika Selatan berkemungkinan memberi reaksi berbeza terhadap vaksin itu.
8) COVID-19: Hospital penuh, rakyat Mexico beli tangki oksigen sendiri
Peningkatan kes COVID-19 yang tinggi di Mexico, serta hospital yang penuh, menyebabkan rakyat negara itu berusaha merawat ahli keluarga mereka sendiri di rumah.
Ia menyebabkan pembelian tangki oksigen meningkat.
9) Ikon televisyen, Larry King meninggal dunia pada usia 87 tahun
Pengacara program bual bicara veteran Amerika Syarikat, Larry King disahkan meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Berita kematian ikon televisyen itu disahkan oleh satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya sendiri (@kingsthings) pada Sabtu.
10) Ekonomi: Presiden AS tandatangani dua perintah eksekutif
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menandatangani dua perintah eksekutif berkaitan ekonomi yang dijangka memberi kelegaan susulan keadaan ekonomi merosot akibat COVID-19.
Kedua-dua perintah eksekutif itu adalah sebahagian besar daripada penghentian sementara ketika Kongres mempertimbangkan pelan rangsangan bernilai 1.9 trilion dolar Amerika daripada Biden.
#berita pilihan #berita antarabangsa #berita luar negara #presiden as #AstraZeneca #Six Flags Magic Mountain #Pfizer-BioNTech #Larry King #COVID-19 #Joe Biden
;