Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Januari 16, 2021 22:38 MYT
Berita tentang Donald Trump yang enggan hadir upcara peralihan kuasa antara pilihan pembaca hari ini.
BERBAGAI berita antarabangsa yang disiarkan Astro AWANI. Berikut merupakan antara berita antarabangsa yang menjadi tumpuan sepanjang hari ini, 16 Januari 2021.
1) Pekerja pembersihan orang pertama terima vaksin COVID-19 di India
Pekerja pembersihan Manish Kumar menjadi individu pertama di India menerima vaksin COVID-19 pada Sabtu selepas Perdana Menteri Narendra Modi melancarkan antara program vaksinasi terbesar di dunia bagi mengekang penularan virus itu.
Golongan pertama yang menerima vaksin termasuk petugas barisan hadapan seperti pekerja kesihatan dan pembersihan, diikuti oleh golongan warga emas berusia lebih 50 tahun dan pesakit yang berisiko mengalami gejala teruk COVID-19.
2) Jangkitan COVID-19 di Indonesia melonjak lepasi angka 14,000
Jangkitan COVID-19 di Indonesia semakin membimbangkan, selepas merekodkan kes baharu melepasi angka 14,000 kes untuk tempoh 24 jam.
Selepas mencatatkan 12,818 kes semalam, jumlah jangkitan baharu hari ini terus melonjak kepada 14,224 kes.
3) Gempa Sulawesi: 45 maut, ratusan lagi cedera
Sekurang-kurangnya 45 orang maut dan ratusan yang lain cedera akibat gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda Kepulauan Sulawesi, Indonesia pada awal pagi semalam.
Pasukan penyelamat hari ini menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang dikhuatiri tertimbus bawah runtuhan bangunan.
4) Perubahan iklim: Negara-negara miskin makin terdesak, perlu lebih banyak belanja - PBB
Separuh daripada sumber kewangan dunia untuk berdepan perubahan iklim perlu digunakan untuk membantu negara-negara miskin mengadaptasi kesan pemanasan global, seperti kemarau, kenaikan paras laut dan banjir, lapor Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
Reuters melaporkan, cuaca ekstrem pada tahun lalu seperti hujan lebat di Afrika, gelombang haba dan suhu panas di lautan tropika adalah tanda-tanda jelas perubahan iklim, kata saintis.
5) Duterte dikecam anggap wanita tidak sesuai pimpin Filipina
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang terkenal dengan sikapnya gemar mengeluarkan kenyataan kontroversi, sekali lagi menjadi tumpuan ramai dengan menyifatkan kaum wanita tidak sesuai untuk memimpin negara itu.
Tegas Duterte, kaum Hawa jauh lebih beremosi ketika membuat keputusan berbanding lelaki dan kerana itu golongan berkenaan tidak boleh menjadi pemimpin.
6) Kecoh tapi lega... Merpati ini terlepas 'hukuman mati' di Australia
Seekor burung merpati yang dalam perancangan untuk dihapuskan di Australia selepas disyaki terbang menyeberangi Laut Pasifik terlepas daripada ‘hukuman mati’ itu.
Keputusan itu akhirnya dibuat selepas mendapati tag identiti pada kakinya yang menyatakan ia milik sebuah organisasi burung Amerika Syarikat (AS), dikenal pasti sebagai tag palsu.
7) Gempa bumi sederhana landa utara Laut Maluku, Indonesia
Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 pada skala Richter berlaku di Utara Laut Maluku, Indonesia pada 7 pagi ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa itu dikesan pada kedudukan 132 kilometer (km) timur dari Bitung, Indonesia dengan kedalaman 83km.
8) Trump enggan hadiri upacara rasmi peralihan kuasa
Presiden Donald Trump akan meninggalkan Washington pada 20 Januari ini iaitu sebelum majlis angkat sumpah Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Trump enggan menghadiri upacara rasmi peralihan kuasa yang akan diadakan pada Rabu depan.
9) COVID-19: Ketidakpatuhan SOP punca peningkatan kes, bukan mutasi baharu - WHO
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan mutasi baharu COVID-19 di Britain, Afrika Selatan dan Brazil tidak memberi sebarang kesan ketara ke arah lonjakan kes jangkitan koronavirus itu.
Sebaliknya, agensi kesihatan dunia itu menyalahkan tingkah laku manusia sebagai penyebab peningkatan kes baru-baru ini.
10) COVID-19: UK tutup semua koridor perjalanan bermula Isnin
United Kingdom akan tutup semua koridor perjalanan berkuat kuasa Isnin.
Ini sebagai langkah melindungi rakyatnya daripada varian baharu COVID-19 yang belum dikenal pasti.
#berita #Pilihan #antarabangsa #pembaca #vaksin #Trump #Donald Trump
;