Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 23, 2020 23:57 MYT
November 23, 2020 23:57 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 23 November 2020.
Presiden dipilih Joe Biden merancang untuk menamakan penasihat lamanya, Antony Blinken sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) dalam pentadbiran baharunya, lapor Bloomberg, pada Ahad.
Dalam pada itu, penasihat rapat Hillary Clinton, Jake Sullivan turut bakal memegang jawatan utama dalam Kabinet Biden, iaitu sebagai penasihat keselamatan negara.
Kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa di Shanghai menjalani ujian saringan besar-besaran selepas beberapa pengendali kargo dikaitkan dengan jangkitan COVID-19.
Pihak berkuasa Shanghai melaporkan enam jangkitan tempatan yang berkaitan dengan lapangan terbang pada awal bulan ini.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sedia menawarkan kepakaran negaranya menangani penyerbaran COVID-19 kepada Presiden dipilih Amerika Syarikat, Joe Biden.
Dalam perbualan telefon kedua-dua pemimpin itu, Ardern berkata, Biden sangat teruja dan berminat dengan cara New Zealand mengawal pandemik itu.
Keberkesanan vaksin COVID-19 yang diusahakan University of Oxford di United Kingdom, berada pada tahap 70 peratus berdasarkan kepada ujian klinikal terhadap lebih 20,000 orang yang bergejala.
Meskipun tahapnya berada di belakang dua pengeluar vaksin, Pfizer dan Moderna yang menunjukkan keputusan 95 peratus namun vaksin dihasilkan universiti itu jauh lebih murah, lebih mudah disimpan dan boleh diedarkan ke seluruh pelusuk dunia.
Kumpulan sensasi Korea Selatan Blackpink tampil dengan kejutan pada Isnin apabila memuat naik satu video ‘teaser’ misteri pada laman Twitter dan Instagram rasmi mereka.
Video yang hanya berdurasi 30 saat itu memaparkan imej satelit bandar-bandar di seluruh dunia beserta dengan waktu yang sama (hanya pada zon waktu yang berbeza) untuk setiap bandar.
India bakal menjadi tuan rumah sidang kemuncak G20 buat julung kalinya pada 2023 selepas Indonesia yang akan menganjurkannya pada 2022.
Perdana Menteri India Narendra Modi menyertai mesyuarat G20 ke-15 pada 21-22 November yang dihoskan Arab Saudi secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19.
Arab Saudi cadang inisiatif memperkukuh akses bagi menangani COVID-19 termasuk pengedaran alatan diagnostik dan vaksin serta memudahkan pembiayaan dana bagi persediaan pandemik.
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman memaklumkan negara anggota Kumpulan 20 (G20) turut menyuntik AS$11 trilion ke dalam ekonomi global bagi membantu perniagaan.
Canselor Jerman, Angela Merkel menyifatkan pandemik COVID-19 sebagai cabaran terbesar dihadapi ketika ini dan menzahirkan kebimbangan berhubung pengedaran vaksin yang adil dan saksama.
Merkel berkata bukan sahaja penting untuk Eropah mendapat akses kepada vaksin, malah seluruh dunia.
Rusia sedia bekerjasama dengan siapa sahaja pemimpin yang diisytiharkan sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).
Komitmen itu dinyatakan presidennya Vladimir Putin.
Koleksi kenangan pencipta lagu tersohor dunia, Bob Dylan termasuk surat, lirik yang tidak diterbitkan dan lirik tulisan tangan “Blowin in the Wind” dijual dengan harga hampir setengah juta dolar, kata pelelong.
Barangan itu dimiliki rakannya yang juga ahli muzik, Tony Glover yang meninggal dunia tahun lepas.
#Joe Biden
#Shanghai
#Jacinda Ardem
#University of Oxford
#BLACKPINK
#Bob Dylan
#Angela Merkel
#COVID-19