Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Khairunnisa Kasnoon
November 20, 2020 23:54 MYT
November 20, 2020 23:54 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 20 November 2020.
Pada tarikh hari ini pada 1947, pernikahan pasangan diraja England, Ratu Elizabeth dan Putera Philip menjadi tumpuan dunia.
Ini kerana Ratu Elizabeth merupakan pewaris takhta diraja negara yang mempunyai sejarah monarki paling lama di dunia.
Seorang tukang keranda dari Sumatera Utara, Indonesia menzahirkan rasa kecewa selepas menjual batu dipercayai bongkah meteorit bernilai jutaan dolar pada harga Rp200 juta (kira-kira RM57,660).
Josua Hutagalung, 34, memberitahu, beliau berasa tertipu selepas menjual batu itu kepada pakar meteorit Jared Collins dari Amerika Syarikat pada harga yang jauh lebih murah berbanding nilai sebenar mencecah AS$1.85 juta (RM7.56 juta).
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berharap Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 dapat membawa visi baharu kerjasama Asia Pasifik untuk 20 tahun akan datang.
Jelas Jacinda, visi baharu itu perlu memfokuskan kepada tiga perkara penting.
Keputusan audit undi di Georgia mengesahkan calon Demokrat, Joe Biden sebagai pemenang dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada 3 November lalu.
Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger berkata audit itu dilakukan selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan Biden mendahului Presiden Donald Trump sekitar 14,000 daripada lebih 5 juta undi yang berakhir dengan kemenangan Biden sebanyak 12,284 undi.
Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengecam Donald Trump sebagai presiden paling tidak bertanggungjawab dalam sejarah AS susulan tindakannya cuba membatalkan keputusan pilihan raya lalu.
Syarikat farmaseutikal Pfizer bersedia menghantar vaksin COVID-19 dihasilkannya beberapa jam selepas mendapat kelulusan.
Kenyataan itu susulan keputusan ujian percubaan terakhir vaksin dengan kerjasama syarikat dari Jerman BioNTech menunjukkan keberkesanan hampir 95 peratus dan selamat untuk melindungi warga emas, golongan paling berisiko maut akibat virus.
Rumah agam milik aktor ternama Bollywood, Shah Rukh Khan dan pasangannya Gauri di New Delhi, India bakal dijadikan rumah penginapan menerusi kempen “Home With Open Arms” pada 13 Februari 2021.
Ia sekali gus menjadikan kediaman milik pasangan popular itu sebagai selebriti Bollywood pertama yang menghoskan rumah penginapan melalui Airbnb.
Gabenor Wisconsin, Tony Evers merancang untuk mengarahkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
Menurut Evers, pihaknya akan melanjutkan mandat pemakaian pelitup muka sehingga Januari dan mengeluarkan arahan itu sebelum akhir minggu ini.
Masih terlalu awal untuk meluluskan penerbangan semula Boeing 737 Max, luah ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam dua penerbangan melibatkan model pesawat berkenaan.
Pentadbiran Penerbangan AS (FAA) pada Rabu meluluskan penerbangan semula pesawat Boeing selepas ia digantung penerbangan di seluruh dunia sejak Mac 2019 susulan dua insiden kemalangan melibatkan pesawat Ethiopian Airlines dan Lion Air lima bulan berturut-turut, yang meragut 346 nyawa.
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata semua undang-undang akan digunakan terhadap penunjuk perasaan yang melanggar undang-undang ketika ketegangan politik terus meningkat di negara itu.
#berita pilihan
#berita antarabangsa
#COVID-19
#Joe Biden
#Jacinda Ardern
#APEC 2020
#Ratu Elizabeth