Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Farhana Joni
September 2, 2020 22:44 MYT
September 2, 2020 22:44 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 2 September 2020.
Tiga pemain Paris Saint-Germain (PSG) yang tidak dinamakan disahkan positif COVID-19.
Perkara itu diumumkan kelab tersebut pada Rabu menerusi perkongsian di Twitter rasmi mereka.
Bekas Menteri Pertahanan Jepun, Shigeru Ishiba dilihat sebagai calon terbaik mengisi jawatan Perdana Menteri Jepun bagi menggantikan Abe Shinzo, hasil tinjauan oleh Agensi Berita Kyodo.
Figura berusia 63 tahun itu dilihat paling sesuai menggantikan Abe yang juga akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri itu sehingga pilihan raya pada bulan Oktober 2021.
Penduduk Singapura dan Brunei boleh melakukan perjalanan antara kedua-dua negara hanya untuk tujuan perniagaan dan urusan rasmi sahaja.
Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua negara berkenaan bersetuju mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik, menurut kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Luar Singapura dan Brunei pada Selasa.
Komander Tertinggi Arab Saudi, Leftenan Jeneral Fahad Turki Abdulaziz dan anaknya Putera Abdulaziz dipecat daripada jawatan mereka.
Menurut Saudi Press Agency, pemecatan itu susulan dakwaan mereka terlibat dalam salah laku rasuah.
Perjalanan terakhir bekas presiden India Pranab Mukherjee diiringi dengan istiadat ketenteraan sebagai tanda penghormatan dan berlangsung di New Delhi pada Selasa.
Gara-gara malu ditinggalkan isteri masing-masing, seorang jutawan dan bapanya bertindak kejam apabila mengupah seorang pembunuh upahan untuk membunuh isteri mereka.
Malah lebih mengejutkan, menurut polis Australia, jutawan Melbourne dan bapanya turut berkonspirasi menghapuskan seorang pastor Kristian yang memberikan kaunseling kepada salah seorang pasangan tersebut supaya meninggalkan suaminya.
Pesakit COVID-19 yang memakai pelindung muka plastik atau topeng yang dilengkapi dengan injap berpotensi menyebarkan virus ke kawasan yang sangat luas sewaktu bersin atau batuk.
Ini sekaligus menjadikan alat tersebut tidak berkesan untuk mencegah penyebaran COVID-19 jika digunakan tanpa pelitup mulut dan hidung biasa.
Jepun, Australia dan India pada Selasa sepakat untuk meningkatkan sistem bekalan produk ekoran risiko gangguan rantaian bekalan produk dan komponen akibat penularan wabak COVID-19.
Ketiga-tiga negara itu berharap dapat mempelbagaikan rantaian bekalan di samping meningkatkan daya saing industri, lapor Jiji Press.
Bekas ketua penyiasat dan orang yang bertanggungjawab melakukan penyeksaan semasa rejim Khmer Rouge berkuasa di Kemboja meninggal dunia pada Rabu di Hospital Phnom Penh.
Kaing Guek Eav yang lebih dikenali sebagai Duch meninggal dunia pada usia 77 tahun, lapor AFP.
Bosan sering disalah tafsir sebagai sebahagian daripada China, Taiwan pada hari Rabu mengumumkan akan membuat rekaan baharu bagi pasportnya.
Warga Taiwan mengalami masalah untuk memasuki negara lain kerana pasport Taiwan ditulis dengan perkataan "Republik China" dalam huruf besar di bahagian atas, manakala nama "Taiwan" dicetak di bahagian bawah.
#antarabangsa
#Arab Saudi
#Australia
#Bekas Presiden
#Brunei
#China
#COVID-19
#India
#Ishiba
#Jepun
#Jutawan
#Ketenteraan
#Khmer Rouge
#koronavirus
#kuarantin
#meninggal dunia
#pelitup muka
#Rasuah
#Singapura
#Taiwan