Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 20, 2020 23:31 MYT
Pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 20 Ogos 2020.
1) PM Jepun beri jaminan dirinya dalam keadaan sihat
Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo memberi jaminan beliau dalam keadaan sihat.
Abe pada masa sama memberitahu media tempatan, lawatannya ke hospital hanyalah bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.
2) Apple jadi syarikat AS pertama bernilai AS$2 trilion
Apple menjadi syarikat Amerika Syarikat (AS) pertama mencecah nilai AS$2 trilion (RM8.35 trilion) iaitu hanya dua tahun selepas menjadi syarikat AS pertama mencapai AS$1 trilion.
Saham Apple telah meningkat hampir 60 peratus pada tahun ini ketika syarikat gergasi teknologi itu mengatasi penutupan kilang di China yang menghasilkan iPhone dan penutupan kedai fizikalnya akibat wabak COVID-19.
3) COVID-19: Kes positif global cecah 22.3 juta
Lebih 200,000 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia sekali gus menjadikan menjadikan kes kumulatif global mencecah 22.3 juta kes.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 5.51 juta kes jangkitan.
4) Tanah mendap 'telan' 21 kenderaan di China
Penduduk di wilayah Sichuan, China kecoh apabila 21 kereta yang sedang diparkir 'ditelan bumi' dalam kejadian yang dipercayai berlaku malam tadi.
Kejadian difahamkan berlaku di kawasan tempat letak kenderaan di hadapan sebuah kompleks beli-belah menerusi beberapa pautan video yang tular.
5) Mengepam tandas boleh sebar virus COVID-19 - Kajian
Orang ramai disyorkan memakai pelitup muka ketika menggunakan tandas awam.
Ia berdasarkan kajian terbaharu yang mendapati mengepam tandas akan melepaskan zarah halus di ruang udara yang boleh menjadikan tandas awam berisiko untuk jangkitan COVID-19.
6) Indonesia tangguh hasrat pindah ibu kota ke Borneo susulan pandemik COVID-19
Kerajaan Indonesia umum tangguh hasrat laksana projek pemindahan ibu kota ke kepulauan Borneo susulan penularan wabak COVID-19 di negara itu.
Menteri Perancangan, Suharso Monoarfa berkata projek pembangunan yang dianggarkan menelan belanja AS$33 bilion itu tetap akan diteruskan kerana ia bakal memberi ‘sinar baharu’ buat Indonesia biarpun republik itu terkesan teruk akibat wabak berkenaan.
7) Ketua Pembangkang Rusia koma akibat diracun
Ketua Pembangkang Rusia, Alexei Navalny dikejarkan ke hospital pada Khamis selepas tidak sedarkan diri.
Menurut jurucakapnya, Kira Yarmish, Navalny diracun ketika dalam penerbangan dari Tomsk ke Moscow.
8) Kuwait dijangka tidak mampu bayar gaji penjawat awam selepas November
Negara teluk yang kaya dengan hasil minyaknya, Kuwait bakal menghadapi kesukaran membayar gaji penjawat awam selepas November depan.
Pengumuman berita itu dibuat Menteri Kewangannya, Barak Al-Sheetan ketika sidang Parlimen negara itu pada Rabu.
9) Protes Thai: Penyanyi rap, aktivis pro-demokrasi antara yang ditahan atas dakwaan menghasut
Polis Thailand menahan seorang penyanyi rap dan beberapa aktivis pro-demokrasi dalam tindakan keras terhadap peningkatan protes yang mendesak Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha meletak jawatan.
Antara yang ditangkap ialah Dechathorn Bamrungmuang, anggota utama Rap Against Dictatorship.
10) COVID-19: Jerman rekod kes harian tertinggi sejak April
Jerman merekodkan 1,707 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak April.
Berbanding negara Eropah lain, negara itu dilihat lebih berjaya dalam menangani penularan virus tersebut sebelum kes meningkat dengan ketara sepanjang cuti musim panas.
#Abe Shinzo #antarabangsa #berita pilihan #China #COVID-19 #Jepun
;