Beri pengemis biskut berkrimkan ubat gigi, YouTuber dipenjara 15 bulan
Agensi
Jun 4, 2019 09:07 MYT
Jun 4, 2019 09:07 MYT
Tindakan seorang YouTuber memberi biskut jenama terkenal berintikan ubat gigi kepada seorang pengemis membawa padah apabila dia berdepan hukuman denda dan penjara 15 bulan oleh kerajaan Sepanyol, dalam kejadian tiga tahun lalu.
Kanghua Ren atau dikenali sebagai ReSet di platform YouTube bukan sahaja perlu membayar denda sebanyak (€)20,000 (RM94,000), malah akaun berkenaan yang mempunyai 1.2 juta pengikut turut dibekukan selama lima tahun.
Video berkenaan yang dirakam pada tahun 2017 menunjukkan lelaki itu memberikan biskut berintikan ubat gigi kepada seorang pengemis berusia 52 tahun dengan upah sebanyak (€)20 (RM94).
Sebaik menjamah biskut berkenaan, pengemis itu terus memuntahkannya selain turut menyifatkan itu adalah perkara terburuk pernah diperlakukan kepada dirinya seumur hidup, lapor Ubergizmo.
Ren menerusi videonya mendakwa video berkenaan mempunyai nilai positif kerana biskut berkrim perisa ubat gigi itu boleh membersihkan gigi pengemis malang tersebut.
“Saya rasa pengemis itu tidak pernah membersihkan giginya kerana dia miskin,”katanya menerusi laman video itu.
Perbuatan tidak bermoral itu ternyata mengundang kecaman negatif daripada netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan usikan Ren yang disifatkan sebagai melampau.
Kerajaan Sepanyol menjatuhkan hukuman denda dan penjara selepas mendapati Ren terbukti bersalah dan melanggar nilai serta norma kemanusiaan di negara berkenaan.