AS beri jaminan akan pastikan Rusia ada akses untuk eksport makanan
Astro Awani
Ogos 4, 2023 08:30 MYT
Ogos 4, 2023 08:30 MYT
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) akan memastikan Rusia ada akses untuk mengeksport makanan sekiranya Perjanjian Bijirin Laut Hitam dihidupkan semula.
Jaminan itu diberikan Setiausaha Negara Antony Blinken dalam satu kenyatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Rusia bulan lalu menarik diri daripada perjanjian yang ditaja PBB dan Turki.
Perjanjian berkenaan bermula pada Julai 2022 bertujuan mengurangkan krisis makanan global, susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
"Sekiranya Rusia kembali ke perjanjian ini, sudah tentu kami akan melakukan apa sahaja untuk memastikan semua pihak boleh mengeksport makanan dan produk makanan mereka dengan bebas dan selamat.
"Ini termasuk Rusia, kami mahu melihat produk keluarannya memasuki pasaran dunia. Kami mahu semua pihak mendapat manfaat daripada harga yang lebih rendah," katanya.
Rusia bersetuju dengan Perjanjian Bijirin Laut Hitam kerana ia turut memeterai satu lagi perjanjian untuk membolehkan eksport makanan dan baja ke pasaran asing.
Bagaimanapun ia mendakwa di sebalik perjanjian berkenaan, Rusia tidak mendapat manfaat kerana sekatan berkaitan pembayaran, logistik dan insurans.