Berenang dengan jerung putih gergasi sepanjang lebih 6 meter!

Agensi
Januari 20, 2019 08:31 MYT
Deep Blue berenang dekat dengan seorang penyelam di sebelahnya, seolah-olah menunjukkan hubungan yang mesra. - Reuters
Sekumpulan penyelam yang sedang leka melihat aksi kawanan jerung harimau yang sedang membaham bangkai seekor paus di perairan Hawaii dikejutkan dengan kehadiran seekor lagi jerung yang bersaiz jauh lebih besar.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, jerung putih gergasi tersebut tiba-tiba saja muncul dari kedalaman sehingga menggemparkan kumpulan penyelam itu.
Secara perbandingan, ukurannya yang melebihi 6 meter ternyata lebih panjang daripada sebuah kenderaan Ford Ranger yang hanya kira-kira 5.36 meter.
Dipercayai salah seekor jerung putih terbesar di dunia, kumpulan penyelam itu bagaimanapun memberanikan diri dengan mendekati ikan yang dimomok dengan ciri ‘ganas’ berkenaan.
Menurut ahli biologi marin Ocean Ramsey, pada mulanya, jerung betina yang diberi nama Deep Blue itu berenang mendekati para penyelam seterusnya ‘meninjau’ sekeliling bot.
Tambahnya, kewujudan Deep Blue yang berusia 50 tahun pernah direkodkan sebeIum ini, malah begitu terkenal dalam dunia biologi marin sehingga mempunyai akaun Twitter sendiri iaitu @ @Deep_Blue_Shark.
“Ia datang mendekati kami dan bergesel dengan bot kami. Mungkin ia hamil, mungkin ia terasa gatal. Kami menghabiskan masa bersamanya sehingga senja,” ujar Ramsey dalam Instagramnya.
Ramsey yang juga ahli konservasi jerung, memuat naik gambar dan video mengenai ‘pertemuan’ dengan Deep Blue untuk membuktikan bahawa jerung putih bukan ‘raksasa tanpa akal’.
"Kita memerlukan jerung, namun kerana imej negatif yang sering ditunjukkan dalam media massa, ramai orang tidak peduli jika spesies ini dibunuh dalam kadar 70,000,000 hingga 100,000,000 setahun!” tegasnya, yang mengutuk perbuatan membunuh ikan itu untuk menghasilkan sup sirip jerung.
Kehadiran jerung putih gergasi di perairan hangat Hawaii jarang terjadi, namun oleh kerana kelaparan, Deep Blue telah keluar dari zon selesanya, kata Ramsey.
Bangkai paus di perairan Oahu telah menjadi tumpuan ramai penyelam untuk melihat secara dekat aksi jerung yang membaham daging mamalia laut tersebut.
Begitupun, para pegawai jabatan laut telah mengeluarkan amaran kepada penyelam supaya jangan mendekati jerung-jerung berkenaan dengan menyelam atau berenang terlalu dekat kerana ikan tersebut mungkin tersalah anggap bahawa mereka juga merupakan makanannya.
Berikut adalah salah satu entri berkaitan Deep Blue yang diulang kicau di akaun Twitternya:

Deep Blue is one of, if not the, largest great white shark ever caught on camera. This movie was shot by researcher Mauricio Hoyos Padilla off the coast of Guadalupe Island, Mexico in 2015 https://t.co/VCvZjhGZ2M pic.twitter.com/OKFNNfYskH

— Massimo (@Rainmaker1973) February 21, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#deep blue #Hawaii #ikan jerung #jerung putih #ocean ramsey #pelancongan #Penyelam
;