Berdepan skandal rasuah, Menteri Kehakiman Korea Selatan letak jawatan
Agensi
Oktober 14, 2019 19:43 MYT
Oktober 14, 2019 19:43 MYT
Menteri Kehakiman Korea Selatan, Cho Kuk meletakkan jawatan pada Isnin selepas berdepan dengan skandal rasuah dan bantuan pendidikan yang melibatkan keluarganya.
Cho yang dilantik secara rasmi oleh Presiden Moon Jae-In pada 9 September lalu untuk mengetuai pembaharuan di pejabat pendakwa raya negara, menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi mengurangkan bebanan politik Presiden Moon.
“Saya membuat keputusan untuk tidak membebani Presiden dan kerajaan dengan isu keluarga saya.
“Saya percaya inilah masa untuk saya meletakkan jawatan supaya pembaharuan di pejabat pendakwa raya dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya dalam satu kenyataan apabila mengumumkan peletakan jawatannya.
Memetik laporan Reuters, Penasihat Politik Utama Moon, Kang Gi-jung berkata penawaran Cho meletakkan jawatan adalah keputusannya sendiri.
Bagaimanapun, Pejabat Presiden tidak segera memberi komen sama ada Moon akan menerima peletakan jawatan Cho atau tidak.
Menurut Kementerian Kehakiman, pembaharuan yang bakal diambil termasuk memperbaiki siasatan pendakwaan, melarang soal siasat terlalu panjang atau lewat serta mengehadkan siasatan daripada beralih ke siasatan lain.
Rata-rata penyokong Parti Liberal Minjoo dan penyokong Cho mendakwa siasatan ke atas Cho itu bertujuan menakutkannya kerana beliau ingin melaksanakan pembaharuan yang merangkumi kuasa pendakwa raya.
Kontroversi melibatkan Cho telah menjejaskan populariti Moon dan parti pemerintah serta amat membimbangkan kerana Pilihan Raya Parlimen bakal diadakan pada April depan.
#Cho Kuk
#Korea Selatan
#Menteri Kehakiman Korea Selatan
#Moon Jae-in
#Parti Liberal Minjoo
#pembaharuan
#Pilihan Raya Parlimen
#presiden
#Rasuah