Berdepan krisis tenaga, Paris padam skrin iklan digital lebih awal
Agensi
Oktober 13, 2022 12:15 MYT
Oktober 13, 2022 12:15 MYT
PARIS: Dalam usaha menjimatkan tenaga berikutan krisis tenaga yang dialami seluruh Eropah, Perancis menjadi antara negara yang mengambil langkah 'menggelapkan' papan iklan elektronik di kawasan umum pada waktu tertentu.
Dewan Bandar Raya Paris pada Rabu lalu meluluskan inisiatif untuk memadamkan skrin pengiklanan digital lebih awal di kawasan awam.
Agensi berita Xinhua melaporkan, inisiatif tersebut dibentangkan oleh Parti Hijau Perancis di dewan bandar raya.
"Terdapat kira-kira 9,000 skrin pengiklanan digital di Perancis, dan dianggarkan 3,000 daripadanya ditempatkan di Paris," ujar Presiden Parti Hijau, Fatoumata Kone.
Bermula 23 September lalu, Paris telah mula memadamkan lampu di beberapa kawasan tarikan lebih awal, termasuk Menara Eiffel dan bangunan Dewan Bandar Raya Paris, dalam usaha menjimatkan penggunaan tenaga. Datuk Bandar Anne Hidalgo berkata menara ikonik itu tidak lagi akan dipancar cahaya sehingga jam 1 pagi seperti sebelumnya.
Paris dan seluruh Perancis, sama seperti keseluruhan Eropah, berdepan risiko kekurangan, pencatuan dan putus bekalan tenaga khususnya apabila permintaan tenaga meningkat pada musim sejuk.
Rusia telah menyekat bekalan gas asli ke beberapa negara Eropah kerana mereka menyokong Ukraine, sekali gus menyebabkan harga gas dan elektrik melambung tinggi.