Berdepan kesan psikologi, Jepun minta China henti ujian calitan dubur terhadap rakyatnya
Agensi
Mac 2, 2021 13:58 MYT
Mac 2, 2021 13:58 MYT
KERAJAAN Jepun meminta China menghentikan ujian calitan dubur (anal swab) ke atas rakyatnya yang memasuki negara Tembok Besar itu.
Jurucakap kerajaan, Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato mendakwa kaedah yang digunakan China ke atas individu yang dianggap berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 telah menyebabkan rakyatnya mengalami “penderitaan psikologi”.
“Beberapa warga Jepun melaporkan kepada kedutaan kami di China bahawa mereka menjalani ujian calitan dubur, yang menyebabkan kesan psikologi yang teruk,” katanya memetik laporan BBC.
Bagaimanapun, jelasnya setakat ini bilangan sebenar rakyat Jepun yang telah melakukan ujian tersebut masih belum dapat disahkan.
Katsunobu menambah ujian berkenaan dilakukan kepada mereka yang sedang menjalani kuarantin atau memasuki China, selain mengatakan kaedah berkenaan belum disahkan di mana-mana negara lain.
Susulan itu, Jepun melalui Kedutaan mereka di Beijing meminta China menghentikan ujian berkenaan.
Sebelum ini, pakar-pakar perubatan China mendakwa kaedah itu adalah lebih tepat untuk mengesan kehadiran COVID-19 berbanding ujian calitan tekak dan hidung.
Kaedah calitan dubur dipercayai telah digunakan di China sejak tahun lalu, khusus terhadap individu yang tinggal di zon merah COVID-19 seperti Shanghai.
Ujian tersebut melibatkan pelapik dimasukkan sedalam tiga hingga enam sentimeter ke dalam rektum untuk mendapatkan sampel.