Berbilion kes malaria berjaya dicegah pada abad ini - WHO
Bernama
Disember 11, 2024 22:40 MYT
Disember 11, 2024 22:40 MYT
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 2.2 bilion kes malaria berjaya dicegah sejak 2000 melalui pendidikan risiko, penggunaan kelambu dan vaksinasi, lapor agensi berita Jerman dpa.
Sepanjang tempoh itu, kira-kira 12.7 juta kematian juga berjaya dielakkan, menurut laporan WHO yang diterbitkan di Geneva pada Rabu.
Sebanyak 17 negara kini secara rutin memberikan vaksin kepada kanak-kanak untuk mencegah malaria. Menurut anggaran WHO, langkah ini dapat menyelamatkan puluhan ribu nyawa setiap tahun.
Malaria adalah penyakit paling biasa di tropika. Parasit ini disebarkan oleh nyamuk anopheles yang menggigit pada waktu petang dan malam. Penyakit ini menyebabkan demam panas dan sakit badan, tetapi boleh dirawat dengan ubat.
Menurut laporan itu, dianggarkan 597,000 orang maut akibat malaria pada 2023. Walaupun angka kematian mencatatkan sedikit penurunan, jumlah jangkitan meningkat empat peratus kepada 263 juta kes.
Kira-kira 95 peratus kematian berlaku di Afrika, kerana ramai orang masih tidak mempunyai akses kepada langkah pencegahan, diagnosis atau rawatan, menurut laporan WHO. Kanak-kanak adalah golongan yang paling terkesan.
WHO juga mengumumkan yang penyakit berjangkit itu kini dihapuskan di 44 negara dan di La Reunion, wilayah Perancis di Lautan Hindi.
Daripada 83 negara yang masih merekodkan kes malaria, 25 daripadanya kini mempunyai kurang daripada 10 kes setahun. Di Afrika, kadar kematian akibat malaria menurun sebanyak 16 peratus sejak 2015.
-- BERNAMA