Berbeza dengan tahun sebelum ini, ibadah Haji tahun ini dilaksana pada skala kecil

Agensi
Julai 29, 2020 07:15 MYT
Jelas kerajaan Arab Saudi juga, jemaah Haji tahun ini juga perlu dikuarantin selama seminggu selepas selesai menunaikan ibadah berkenaan. Foto: Reuters
Jika musim Haji sebelum ini lautan manusia membanjiri Masjidil Haram,kali ini jemaah Haji melaksanakan ibadah itu dengan garis panduan yang lebih ketat susulan pandemik COVID-19.
Pada Rabu, jemaah Haji mula tiba di perkarangan Masjidil Haram dengan memakai pelitup muka serta bergerak dalam kumpulan kecil.
Kesemua mereka perlu mematuhi arahan penjarakan sosial dan tatasusila serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan COVID-19.
Menurut kerajaan Arab Saudi, semua jemaah dibenarkan untuk bergerak dalam kumpulan seramai 20 orang pada satu-satu masa.
Malah, mereka juga dikawal rapi oleh pihak keselamatan dan kakitangan kesihatan.
Tahun ini, hanya jemaah yang berusia antara 20 hingga 50 tahun dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
BACA: Kementerian Kesihatan Arab Saudi lantik ketua kesihatan untuk setiap 50 jemaah haji
Jelas kerajaan Arab Saudi juga, jemaah Haji tahun ini juga perlu dikuarantin selama seminggu selepas selesai menunaikan ibadah berkenaan.
Untuk rekod, hanya kira-kira 1,000 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan ibadah berkenaan pada tahun ini.
Pada 2019, lebih 2.5 juta populasi manusia di dunia hadir ke Mekah hanya untuk menunaikan ibadah berkenaan.
#Arab Saudi #COVID-19 #Haji #Islam #Mekah #penjarakan sosial
;