Berang dikejut sahur, remaja dipukul dengan airsoft gun

Sinar Harian
Mac 18, 2025 09:00 MYT
Insiden itu turut menjadi tular di media sosial. - Foto Sinar Harian/Agensi
BOGOR: Tradisi mengejut penduduk untuk bangun sahur akhirnya bertukar tragedi.
Seorang remaja dikenali sebagai E, 17, menjadi mangsa kekerasan lelaki yang berang kerana dikejutkan untuk bangun sahur dalam kejadian di Desa Tarikolot, Kecamatan Citeureup, Kabupaten Bogor, Jawa Barat di Indonesia pada akhir minggu lalu.
Kapolsek Citeureup, AKP Ari Nugroho berkata, pelaku naik angin dengan suara riuh-rendah kumpulan pemuda tersebut memandangkan anaknya sedang sakit.
"Pelaku yang tidak dapat menahan amarah bertindak menggunakan senjata airsoft gun dan melepaskan tembakan ke udara sebelum memukul kepala mangsa.
"Akibat tindakan itu, E mengalami pendarahan serius pada kepalanya dan terpaksa dikejarkan ke rumah sakit Sentra Medika," jelasnya lagi.
Rakaman video insiden tersebut yang memaparkan E dalam keadaan berlumuran darah turut menjadi tular di media sosial.
Dia kemudiannya dibawa dua penduduk setempat menaiki motosikal ke hospital berhampiran manakala seorang wanita menjerit ketakutan melihat keadaannya.
Difahamkan, E masih dirawat di rumah sakit dan keadaannya semakin baik. - Sinar Harian memetik agensi
#sahur #pukul #CeritaRamadan2025 #Ramadan2025
;