Bentley buang 1,000 pekerja di UK
Astro Awani
Jun 4, 2020 07:46 MYT
Jun 4, 2020 07:46 MYT
Pembuat kereta mewah, Bentley akan mengurangkan 1,000 pekerja di United Kingdom.
Menurut laporan BBC, firma itu yang membuat sebahagian besar kenderaannya di Crewe akan memberi peluang kepada pekerja untuk pengambilan pemberhentian sukarela.
Bentley telah bergelut dengan kemerosotan industri kereta disebabkan COVID-19 dan difahamkan itu bukan satu-satunya alasan pengurangan pekerja.
Firma yang dimiliki Volkswagen itu enggan memberikan sebarang reaksi namun akan membuat pengumuman rasmi hari ini.
Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Bentley, Adrian Hallmark berkata satu perempat pekerja firma itu diberikan cuti disebabkan perintah berkurung, manakala suku yang lain bekerja dari rumah.
Pembuat kereta itu dikatakan telah memulakan semula pengeluarannya di kilang Crewe tetapi dengan hanya separuh kakitangannya.
Bentley ditubuhkan di UK pada 1919 dan menyaksikan jualan naik seluruh dunia sebanyak 5 peratus kepada lebih 11,000 kereta pada tahun 2019.
Namun ia berhadapan cabaran dalam keuntungan sejak beberapa tahun ini.
Firma itu menyelesaikan rancangan pemulihan tahun lalu, namun kini dilanda kejatuhan permintaan disebabkan COVID-19.
Ini telah menyebabkan pengeluar, pembekal dan bilik pameran kereta ditutup selama berminggu lamanya dengan pengguna menangguhkan pembelian besar.
Badan Perdagangan SMMT mengatakan hanya 20,000 kereta baharu yang didaftarkan di UK bulan lalu turun 89 peratus tahun ke tahun dan merupakan prestasi terburuk pada Mei sejak 1952.
#Adrian Hallmark
#Bentley
#COVID-19
#Crewe
#koronavirus
#pengurangan pekerja
#SMMT
#United Kingdom
#Volkswagen