Bentang manifesto jadi keunikan pemilihan Presiden NAMSA
Astro Awani
Februari 18, 2017 23:36 MYT
Februari 18, 2017 23:36 MYT
Pemilihan jawatan Presiden dan Naib Presiden Himpunan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (NAMSA) tahun ini disifatkan unik kerana calon-calonnya perlu membentangkan manifesto sebelum dipilih memegang jawatan yang ditentukan.
Presiden NAMSA Zaryff Razali berkata, selain menifesto, calon juga perlu berdebat dengan pesaing mereka secara bersemuka.
"Pemilihan jawatan presiden dan naib presiden pada tahun ini adalah agak unik kerana calon-calon yang bertanding untuk jawatan-jawatan tersebut perlu membentang manifesto mereka dan berdebat dengan pesaing mereka secara bersemuka.
"Lebih menarik, sesi Debat Presiden dan pembentangan manifesto calon-calon naib presiden telah disiarkan secara langsung di dalam laman Facebook NAMSA dan berjaya menarik lebih dari 1,700 pengunjung Facebook," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Mesyuarat Agung Tahunan NAMSA yang dijalankan bersempena dengan US Malaysian Student Leaders Summit (US-MSLS) 2017 dari 10 hingga 12 Febuari 2017 di Courtyard by Marriot, Glenview, Chicago telah bersetuju melantik 12 ahli Jawatankuasa Eksekutif (Executive Committee-EC) bagi sesi 2017/2018.
Jawatan Presiden dan Naib Presiden telah dipilih oleh presiden-presiden Malaysian Students Association (MSA) dari universiti-universiti seluruh Amerika Syarikat (AS).
Selepas undian yang dijalankan secara atas talian, pelajar tahun tiga dari University of Michigan, Zaryff telah dipilih sebagai Presiden NAMSA bagi sesi 2017/2018.
Dalam pada itu jelas Zaryff, NAMSA turut menerima suntikan semangat dengan kehadiran Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique untuk merasmikan MAT tersebut.
"Tan Sri Zulhasnan turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Amal Wangsa kepada NAMSA.
"Selain itu, pemimpin-pemimpin pelajar yang hadir turut membincangkan mengenai halatuju dan keutamaan NAMSA untuk tahun 2017/2018.
"Sebagai sebuah persatuan pelajar yang menaungi lebih dari 8,000 pelajar Malaysia seluruh AS, EC NAMSA 2017/2018 berasa optimis dapat membantu dan memperjuangkan kebajikan pelajar-pelajar," ujarnya.
Tambahnya, NAMSA turut mengambil langkah proaktif untuk membincangkan mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
"Secara umumnya, NAMSA berpandangan TN50 merupakan sebuah wawasan jangka panjang yang sangat baik kepada negara dan rakyat.
"Bagi menyahut seruan kerajaan supaya golongan muda tampil memberikan pandangan untuk menjayakan TN50, NAMSA bercadang untuk mengembangkan perbincangan ini kepada pelajar-pelajar Malaysia di seluruh AS dalam masa terdekat sebelum menyampaikan maklum balas yang dikumpul kepada kerajaan.
"NAMSA juga ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas sokongan dan bantuan yang diberikan oleh Duta Besar Malaysia ke AS, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Washington, Education Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan juga penyumbang terbesar US-MSLS, WeMalaysia di dalam menjayakan program ini," katanya.
Jelasnya, NAMSA juga ingin meneruskan kerjasama dengan WeMalaysia di dalam banyak program lain di masa akan datang.
"Selain itu NAMSA juga bersedia untuk bekerjasama dengan badan-badan korporat di Malaysia di dalam penganjuran aktiviti-aktiviti yang boleh memberikan kebaikan kepada semua pihak terutamanya pelajar-pelajar Malaysia di AS," ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai NAMSA boleh diperolehi dari facebook rasmi, National Assembly of Malaysian Student in America - NAMSA dan laman web http://www.mynamsa.com.
Namsa juga boleh dihubungi melalui email namsaofficial@gmail.com.
WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).