Benny Tai dipecat susulan peranan dalam protes 2014

Astro Awani
Julai 28, 2020 07:20 MYT
Benny Tai bercakap kepada media ketika meninggalkan mahkamah tinggi di Hong Kong, 15 Ogos, 2019. REUTERS/Fail
PENSYARAH undang-undang terkenal Hong Kong Benny Tai, dipecat, susulan sabitan berhubung peranannya dalam protes pro demokrasi pada 2014.
Perkara itu diumumkannya sendiri melalui laman Facebook miliknya, sambil mendakwa University of Hong Kong tunduk kepada tekanan dari Beijing.
"Ia menandakan berakhirnya kebebasan akademik di Hong Kong," kata aktivis itu.
'Kakitangan akademik di institusi pendidikan di Hong Kong tidak lagi bebas membuat pernyataan kontroversial kepada masyarakat umum mengenai perkara-perkara kontroversial dari segi politik atau sosial," tambahnya.
Tai, 56 tahun, adalah salah seorang daripada pengasas 'gerakan payung' atau Umbrella Movement.
Gerakan berkenaan melumpuhkan sektor perniagaan Hong Kong selama beberapa minggu pada 2014.
Tahun lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan ke atas Tai susulan peranannya dalam gerakan tersebut.
Dia bagaimanapun dibenarkan ikat jamin sementara menunggu rayuan.
Protes 2014 yang sebahagian besarnya berlangsung aman, berterusan selama 70 hari.
#akademik #Benny Tai #Hong Kong #kebebasan #pecat #pensyarah #profesor #protes #tekanan #Umbrella Movement #undang-undang #universiti #University of Hong Kong
;