Benjamin Netanyahu "bimbang" protes meluas rakyat Israel
Agensi
September 1, 2024 06:45 MYT
September 1, 2024 06:45 MYT
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan sangat "bimbang" terhadap demonstrasi meluas yang tercetus di Israel, kata seorang pegawai Israel kepada CNN.
Penunjuk perasaan berkumpul di bandar-bandar di seluruh negara pada Ahad untuk menggesa perjanjian tebusan dicapai selepas tentera Israel menemui mayat enam tebusan yang didakwa dibunuh oleh Hamas di Gaza.
Netanyahu dipersalahkan oleh pengkritik yang mendakwa beliau tidak memberi keutamaan kepada pemulangan tebusan.
Pada Ahad malam, sekurang-kurangnya 700,000 orang mengadakan protes selepas tentera Israel menemui mayat enam tebusan yang dibunuh oleh Hamas di Gaza.
Demonstrasi itu disifatkan sebagai "lautan tunjuk perasaan tidak berkesudahan" menterjemahkan kemarahan rakyat Israel terhadap kepimpinan Netanyahu yang gagal menangani krisis tebusan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel menggelar pendekatan kerajaan terhadap perjanjian tebusan sebagai "penghinaan moral."
Yoav Gallant membidas kerajaan Israel kerana apa yang didakwa beliau mengutamakan kawalan kawasan sempadan utama berbanding perjanjian untuk membebaskan tebusan.
Luahan kekecewaan Gallant itu dikongsi beliau dalam mesyuarat Kabinet pada Ahad, lapor CNN.
Gallant baru-baru ini bertelagah dengan Netanyahu berhubung syarat untuk mengawal kawasan sepanjang 14 kilometer (8.7 batu) di sepanjang sempadan Gaza dan Mesir yang dipanggil koridor Philadelphi, menurut laporan media Israel.
"Jika kita meneruskan jalan ini, kita tidak akan berjaya mencapai matlamat yang kita tetapkan untuk diri kita sendiri," Gallant memberi amaran kepada rakan sekerjanya pada Ahad.
"Jika kita mahu tebusan hidup, kita tidak mempunyai masa. Saya diajar bahawa kita tidak meninggalkan mereka yang cedera di medan perang. Ia merupakan penghinaan moral,” kata Gallant lagi.
Gallant dilaporkan mendapati dirinya semakin terpencil dalam Kabinet Netanyahu khususnya berhubung isu perjanjian tebusan.
Beliau satu-satunya yang menentang mengekalkan kawalan koridor Philadelphi sebagai syarat untuk sebarang perjanjian pembebasan tebusan dan pada Ahad Gallant gagal dalam usahanya untuk mendapatkan undi semula mengenai perkara itu berikutan berita kematian enam tebusan. - Agensi