Benjamin Netanyahu akan tutup stesen Al Jazeera di Israel tidak lama lagi
Agensi
April 1, 2024 06:30 MYT
April 1, 2024 06:30 MYT
BAITULMAQDIS : Parlimen Israel telah meluluskan undang-undang yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengharamkan siaran saluran TV termasuk saluran berita antarabangsa, Al Jazeera yang dimiliki Qatar.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi amaran beliau akan "bertindak segera" untuk menutup pejabat tempatan rangkaian itu.
Keputusan kerajaan Israel itu mencetus kebimbangan Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu Israel.
Berikutan wartawan asing dilarang memasuki Gaza, hanya kakitangan Al Jazeera yang berpangkalan di wilayah konflik itu satu-satunya wartawan yang berpeluang membuat liputan mengenai perang antara Israel dan pasukan pejuang Hamas di lapangan.
Parlimen Israel, Knesset meluluskan rang undang-undang membenarkan rangkaian asing yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara diharamkan "sementara."
Larangan itu akan dilaksanakan untuk tempoh 45 hari pada satu masa, yang boleh diperbaharui.
Undang-undang itu juga akan terus berkuat kuasa sehingga Julai atau sehingga tamat pertempuran penting di Gaza.
"Al Jazeera tidak akan lagi disiarkan dari Israel," tulis Netanyahu di platform media sosialnya, X sambil menggelar rangkaian itu sebagai "saluran pengganas."
Selama bertahun-tahun, pegawai Israel menuduh Al Jazeera berat sebelah dan anti-Israel.
Kritikan Israel terhadap penyiar itu semakin meningkat sejak serangan Hamas pada 7 Oktober.
Pihak berkuasa Israel turut mendakwa, Al Jazeera mempunyai hubungan rapat dengan Hamas, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh stesen penyiaran itu.
Beikutan tekanan yang meningkat, Al Jazeera menuduh Israel sengaja menyasarkan kakitangannya.
Wartawan stesen itu termasuk Hamza Al-Dahdouh, anak kepada ketua biro Al Jazeera Gaza Wael Al-Dahdouh terbunuh oleh serangan Israel.
Israel menafikan tenteranya mensasarkan wartawan.
Kerajaan Qatar yang memiliki Al Jazeera menjadi pengantara rundingan antara Israel dan Hamas berhubung konflik selama hampir enam bulan itu.
Rundingan sebelumnya yang dikawal selia oleh Qatar membawa kepada gencatan senjata sementara dan pembebasan 105 tebusan Israel.
Bagaimanapun, tidak jelas jika langkah terbaharu Israel akan menjejaskan rundingan gencatan senjata.
Israel sebelum ini telah melarang saluran Lubnan yang lebih kecil, Al Mayadeen, daripada beroperasi di negara itu.
Dalam perkembangan sama, Amerika Syarikat berkata, negara itu akan "terus menjelaskan" kepada sekutunya, Israel bahawa ia menyokong "tugas-tugas yang dilakukan oleh media bebas bebas," termasuk Al Jazeera, menurut jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller.
"Kami fikir kerja yang dilakukan oleh media bebas adalah penting di seluruh dunia dan kebanyakan perkara yang kami tahu tentang apa yang telah berlaku di Gaza adalah kerana wartawan yang berada di sana melakukan tugas mereka, termasuk wartawan dari Al Jazeera," kata Miller.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre pula ketika ditanya mengenai cadangan larangan oleh kerajaan Israel itu berkata, pengharaman operasi Al Jazeera merupakan tindakan yang membimbangkan.
Peperangan di Gaza bermula apabila pejuang Hamas menyerbu ke selatan Israel pada 7 Oktober sehingga menyebabkan 1,200 terbunuh, sementara 253 dijadikan tebusan, dakwa Israel.
Menurut laporan, sekitar 130 daripada tebusan masih dalam tahanan dan 34 daripadanya dianggap mati.
Peperangan itu turut menyebabkan lebih 32,800 rakyat Palestin terbunuh dan 75,000 cedera di Gaza sejak Israel melancarkan kempen ketenteraannya, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.
Seramai 70 peratus daripada mereka yang terbunuh di Palestin terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Al Jazeera pertama kali dilancarkan pada 1996 dan menggegarkan landskap media di Asia Barat dengan menyiarkan kritikan terhadap kerajaan dan pemerintah di rantau itu.
Al Jazeera merupakan saluran berita Arab pertama yang menampilkan ahli politik dan pengulas Israel di udara. - Agensi