Bencana banjir jejas 4.5 juta orang di Bangladesh

Bernama
Ogos 23, 2024 20:49 MYT
Banjir menenggelamkan rumah, bangunan awam dan swasta, tanah pertanian dan jalan raya di kawasan yang luas di bahagian timur Bangladesh. - Reuters
DHAKA: Sekurang-kurangnya 13 orang maut dalam banjir besar yang turut menyebabkan hampir 4.5 juta orang terkandas di timur Bangladesh, kata kerajaan pada Jumaat.
Hujan lebat berhari-hari dan aliran air yang meningkat dari kawasan bukit di hulu menyebabkan sungai tempatan melimpah, mengakibatkan kerosakan meluas.
Kamrul Hasan, seorang pegawai kanan di Kementerian Pengurusan Bencana dan Bantuan, berkata 12 daripada 64 daerah pentadbiran terjejas akibat banjir yang menyebabkan 13 orang terkorban setakat Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata hampir 4.5 juta orang terjejas teruk akibat bencana itu.
"Keadaan sedang bertambah baik secara beransur-ansur," kata Hasan, merujuk kepada ramalan pejabat meteorologi Dhaka yang menjangkakan pengurangan hujan.
Banjir itu menenggelamkan rumah, bangunan awam dan swasta, tanah pertanian dan jalan raya di kawasan yang luas di bahagian timur negara itu.
Operasi menyelamat dan bantuan sedang dijalankan di banyak tempat oleh anggota tentera darat, tentera laut dan pasukan pengawal pantai, serta perkhidmatan bomba dan sukarelawan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh.
-- BERNAMA
#hujan lebat #banjir #Bangladesh #kerosakan