Bencana alam: Taufan Gulab membadai Timur India

Astro Awani
September 26, 2021 07:22 MYT
Anggota Pasukan Tindakan Bencana Nasional India tiba untuk bertugas susulan jangkaan Taufan Gulab di Ganjam, timur Odisha, India, 26 Sept, 2021. (Foto AP/NRDF)
TAUFAN dan angin ribut melanda pantai di Timur India pada Ahad, ketika puluhan ribu penduduk di tiga negeri dipindahkan ke tempat perlindungan.
Ribut taufan adalah ancaman biasa di utara Lautan Hindi tetapi ramai saintis berpendapat ia menjadi lebih kerap dan teruk kerana perubahan iklim yang menghangatkan suhu laut.
Jabatan Meteorologi India berkata, Taufan Gulab membadai daratan antara negeri-negeri pesisir Odisha dan Andhra Pradesh tepat jam 6 petang waktu tempatan, dengan tiupan angin hingga 95 kilometer sejam (km/j).
Tambahnya, terdapat risiko banjir kilat di beberapa daerah.
Pihak berkuasa Odisha dan Andhra Pradesh memerintahkan puluhan ribu penduduk yang tinggal di sepanjang pantai untuk berpindah, sambil ratusan petugas kecemasan dihantar ke wilayah terbabit.
Video dari Pasukan Tindakan Bencana Nasional (NDRF) India menunjukkan pegawainya menggalakkan orang ramai di kampung-kampung di pesisir untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Terdapat laporan awal mengenai banyak pokok yang tercabut ketika taufan itu membadai sebuah daerah di Andhra Pradesh.
Dianggarkan, 85,000 keluarga akan dipindahkan dari kawasan rendah ke tempat perlindungan sementara di negeri itu.
Pada Mei, lebih sejuta orang dipindahkan dari kediaman mereka di sepanjang Pantai Timur India yang dilanda Taufan Yaas, dengan angin bertiup hingga 155km/j - setara dengan taufan kategori dua.
#taufan #angin kencang #Taufan Gulab #India
;