Benarkah wartawan India jadi batu api krisis India-Pakistan?
Astro Awani
Mac 4, 2019 18:11 MYT
Mac 4, 2019 18:11 MYT
Pada Jumaat, juruterbang Tentera Udara India yang dibebaskan Pakistan, Abhinandan Varthaman dilaporkan dipaksa merakam satu video mengkritik media di India kerana mengapi-apikan ketegangan antara kedua-dua negara.
Laporan pelbagai media antarabangsa menyebut, video tersebut turut memuji sikap profesional tentera Pakistan yang menahannya.
Dalam video yang didakwa disunting itu, Abhinandan berkata: "Anggota tentera menyelamatkan saya dari orang ramai yang ingin mencederakan saya. Tentera Pakistan sangat profesional dan saya sangat kagum."
Apa kata media India?
Namun benarkah dakwaan ini bahawa media di India mengapi-apikan ketegangan yang bermula pada 14 Feb itu?
Laporan The Japan Times menyebut media di India mengkritik keras video berkenaan dan menyifatkannya jelik dan melanggar undang-undang berhubung tahanan perang.
Semakan di media sosial mendapati wartawan India, Sudhir Chaudhary dengan 3.19 juta pengikut Twitter, dari Zee News Hindi, menggesa Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan untuk bebaskan Abhinandan atau ucapannya tidak bermakna.
Sebelum itu, Sudhir turut menyatakan India seharusnya mengiktiraf yang ia kini sedang berperang dengan Pakistan dan mengambil tindakan sebagai sebuah kuasa besar.
Sudhir juga ada muat naik di Twitter dengan frasa "Jai Hind" yang bermaksud "Dirgahayu India" yang disifatkan sebagai satu frasa yang bersifat nasionalistik.
Sebelum ini, pelakon Priyanka Chopra dikecam di media sosial dan digesa oleh warga Pakistan agar Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memecatnya sebagai Duta Muhibah kerana menyatakan frasa yang sama.
Wartawan lain yang turut terlibat memuat naik kenyataan yang bersifat nasionalistik termasuk Rahul Kanwal dari India Today yang mempunyai sekitar 4 juta pengikut di Twitter.
Menurutnya, warga India tidak mahukan perang namun, jika 'proksi' Pakistan, kumpulan militant Jaish-e-Mohammed (JeM) menyerang tentera India akan membalas.
Tambahnya, tindakan Tentera Udara India yang memasuki kawasan Pakistan adalah tindakan yang berani dan tindakan jelas berbanding mana-mana kerajaan India sebelum ini.
Wartawan lain termasuk Barkha Dutt, wartawan Tiranga TV dengan lebih 6.8 juta pengikut di Twitter, mengkritik video yang memaparkan Abhinandan mengecam media India dan mendakwanya sebagai satu video propaganda.
Beliau turut mengemaskini Twitternya dengan menyatakan sokongannya kepada tentera India namun menyifatkannya sebagai bukan satu gesaan perang tetapi keadilan.
Konflik ini tercetus apabila pada 14 Feb apabila konvoi tentera India diserang oleh JeM dan mengakibatkan 40 orang tekorban.
Susulan itu, India pada 26 Feb mengambil tindakan mengebom kawasan yang disifatkan markas kumpulan militan itu.
#Benarkah media India jadi batu api
#India
#Juruterbang India ditahan tentera Pakistan
#Krisis India-Pakistan
#Media India dikritik juruterbang India
#Pakistan
#Perang India-Pakistan