Belum ada bukti pesakit COVID-19 imun setelah pulih - WHO

Astro Awani
April 18, 2020 10:44 MYT
Dr. Maria mengakui masih belum mengetahui sama ada tindak balas itu membawa kepada kekebalan terhadap koronavirus. - Gambar AP
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa belum ada bukti bahawa seseorang yang telah pulih daripada COVID-19 kebal dan imun dari dijangkiti semula koronavirus.
Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Dr. Maria Van Kerkhove berkata, ujian serologi atau antibodi yang menunjukkan sama ada seseorang pernah menghidap COVID-19 bukan petunjuk mereka imun terhadap pandemik itu.
"Apa yang akan dilakukan oleh ujian ini akan mengukur tahap antibodi. Ini adalah tindak balas yang akan ditunjukkan selepas satu atau dua minggu dijangkiti virus ini.
"Sekarang, kami tidak memiliki bukti bahawa penggunaan ujian serologi dapat menunjukkan bahawa seseorang itu kebal atau dilindungi dari jangkitan semula," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat WHO di Geneva.
Antibodi adalah sel yang dibuat oleh tubuh dan digunakan oleh sistem kekebalan tubuh untuk meneutralkan patogen seperti bakteria dan virus.
Bagaimanapun, Dr. Maria mengakui masih belum mengetahui sama ada tindak balas itu membawa kepada kekebalan terhadap koronavirus.
Pada minggu ini, jumlah kes COVID-19 melepasi angka dua juta sementara kes pulih mencatat 550,000 dengan kematian sebanyak 150,000 di seluruh dunia.
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan pula berkata, saintis masih menentukan tempoh perlindungan antibodi yang mungkin diberikan kepada seseorang yang telah dijangkiti koronavirus.
"Berkenaan dengan pemulihan dan kemudian jangkitan semula, saya percaya kita tidak mempunyai jawapan untuk itu. Itu tidak diketahui.
"Tidak ada yang pasti sama ada seseorang yang mempunyai antibodi dilindungi sepenuhnya daripada menghidap penyakit ini atau terdedah lagi.
"Beberapa ujian juga mempunyai masalah dengan kepekaan, ia mungkin memberikan hasil negatif yang salah," kata Dr Ryan.
WHO juga menyatakan isu perbezaan individu dari pelbagai negara dalam pengujian itu dapat mengubah data dengan ketara.
#COVID-19 #imun #kecemasan #saintis #virus #WHO
;