Belon berisi sampah jatuh di kawasan pejabat Presiden Korea Selatan

Bernama
Julai 24, 2024 07:45 MYT
PSS menemui sampah yang jatuh di kawasan kompleks presiden semasa memantau belon-belon yang dihantar Korea Utara. - Gambar/ AP
SEOUL: Sebuah belon yang membawa sampah sarap dari Korea Utara jatuh di kawasan pejabat presiden Korea Selatan pada Rabu namun tiada bahan berbahaya ditemui, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS).
PSS melaporkan bahawa mereka menemui sampah yang jatuh di kawasan kompleks presiden semasa memantau belon-belon yang dihantar Korea Utara awal hari itu.
Sejak Mei, Korea Utara menghantar ribuan belon berisi sampah ke Korea Selatan sebagai protes terhadap risalah propaganda anti-Pyongyang yang diterbangkan oleh aktivis merentasi sempadan.
"Siasatan oleh pasukan tindak balas kimia, biologi dan radiologi menunjukkan objek berkenaan tidak mendatangkan bahaya atau pencemaran. Kami akan terus memantau situasi dengan kerjasama Ketua Staf Bersama," menurut PSS.
Pejabat presiden memaklumkan bahawa lokasi tepat belon itu jatuh dijejak melalui alat pemerhatian.
Seorang pegawai presiden menjelaskan adalah sukar untuk mengendalikan belon-belon itu di udara kerana bimbang kandungan di dalamnya.
Tentera mengelak daripada menembak jatuh belon-belon terbabit kerana bimbang isi kandungannya tersebar lebih jauh dan menyebabkan lebih banyak kerosakan.
-- BERNAMA
#Korea Utara #Korea Selatan #belon sampah #Pejabat Presiden