Bella Hadid upah peguam saman Adidas

Agensi
Julai 22, 2024 06:48 MYT
Bella Hadid memang lantang menyuarakan sokongannya terhadap hak Palestin sejak Israel melancarkan serangan balas menyasarkan orang awam di Gaza. - Sinar Harian
WASHINGTON: Supermodel terkenal berdarah campuran Palestin, Bella Hadid dilaporkan mengupah sepasukan peguam untuk menyaman syarikat pakaian sukan berpangkalan di Jerman, Adidas.
Tindakan itu diambil selepas Adidas menggugurkan Bella daripada kempen keluaran terbaharu kasut retro berinspirasi Sukan Olimpik Munich 1972 selepas ia mendapat kritikan daripada kumpulan pro-Israel
Sumber memberitahu US WEEKLY bahawa Bella akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Adidas atas kekurangan akauntabiliti awam mereka dalam menerbitkan kempen yang akan mengaitkan sesiapa dengan kematian dan keganasan yang berlaku semasa Sukan Olimpik Munich 1972.
Sumber itu menyatakan, "Bella amat menentang keganasan."
Ia menambah, Bella menyatakan rasa kecewa terhadap Adidas kerana mereka merujuk Olimpik 1972 tanpa mengiktiraf konteks sejarah terlebih dahulu.
Sukan Olimpik Munich 1972 dibayangi kematian 11 atlet Israel termasuk seorang anggota polis Jerman selepas lelaki bersenjata dari kumpulan Black September Palestin menceroboh perkampungan Olimpik dan menjadikan mereka tebusan.
Bella, 27, atau nama sebenarnya Isabella Khair Hadid memang lantang menyuarakan sokongannya terhadap hak Palestin sejak Israel melancarkan serangan balas menyasarkan orang awam terutama wanita dan kanak-kanak di Gaza sejak Oktober lalu.
Pembunuhan rakyat Palestin oleh tentera Israel di Gaza mendapat 'restu' daripada kerajaan Jerman yang menyokong kempen rejim Zionis dalam konflik itu.
Sikap Jerman itu yang turut membekalkan senjata berat kepada Israel telah membawa kepada dakwaan bahawa suara Palestin dipinggirkan. - Agensi
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Bella hadid #sokong Palestin #saman Adidas #rejim Zionis #Israel #kasut retro